PETALING JAYA: Keputusan pemilihan membuktikan pimpinan tertinggi Pas mendapat kepercayaan penuh daripada perwakilan dan akar umbi selepas berjaya membawa parti ke arah zaman kegemilangannya ketika ini.
Ini dibuktikan dengan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila meraih 43 kerusi Parlimen, menjadikan Pas sebagai parti Melayu terbesar buat pertama kali dalam sejarah di negara ini, merampas takhta yang selama ini dipegang oleh UMNO dalam tempoh lebih 60 tahun.
Bukan itu sahaja, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Pas terus menguasai empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis serta memenangi kerusi di Perak (17), Pahang (15), Selangor (10), Pulau Pinang (7) dan Negeri Sembilan (3).
Pencapaian ini mendorong ahli perwakilan dan akar umbinya untuk mempertahankan dan kekal menyokong kepimpinan parti. Jadi tiada sebab dan alasan kukuh untuk mereka menolak barisan pimpinan sedia ada yang telah membawa banyak kejayaan kepada parti.
Disebabkan itu, kedudukan pimpinan tertinggi Pas langsung tidak tergugat apabila meraih kemenangan tanpa bertanding kerana ketiadaan pencabar serius dalam pemilihan kali ini, kerana hakikatnya barisan pimpinan tertinggi tidak pernah berubah dengan drastik melalui pemilihan parti.
Kali terakhir pimpinan parti itu dicabar pada 2015 apabila ketiga-tiga jawatan tertinggi presiden, timbalan presiden dan naib presiden dipertandingkan.
Keputusan pemilihan ketika itu memberi kesan besar apabila sebahagian pucuk pimpinan yang diketuai Datuk Seri Mohamad Sabu keluar parti untuk menubuhkan parti Amanah yang kemudian menyumbang kepada kemenangan PH, menewaskan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Di sebalik kekalahan itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kekal sebagai presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan 2019.
Namun, kepimpinan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya membentuk kerajaan dengan menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu pada 2020.
Walaupun tewas dalam PRN di Melaka, Sarawak dan Johor, keputusan PRU15 menjadi petunjuk utama bahawa Pas mampu dan berupaya membentuk kerajaan dengan kekuatan pimpinan sedia ada.
Barisan pimpinan tertinggi parti ini dijangka kekal berkuasa dalam dua pemilihan akan datang iaitu pada 2025 dan 2027, yang akan menyumbang kepada kemenangan Pas dalam PRU16 dan seterusnya menubuhkan kerajaan bersama PN. – UTUSAN










