KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan pendakwaan meminda tiga pertuduhan dihadapi bekas Perdana Menteri itu selepas lima tahun dituduh di mahkamah bukan dilakukan dengan niat baik.
Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak pendakwaan mengetahui mengenai perbezaan jumlah yang dikatakan diseleweng oleh anak guamnya, namun, tidak berbuat apa-apa mengenainya.
Menurut beliau, pendakwaan sepatutnya membuat pindaan sebaik sahaja menyedari mengenai perbezaan jumlah itu.
Pada ketika itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah dan bertanya adakah peguam tersebut cuba memberikan bayangan bahawa pendakwaan mempunyai motif tidak wajar ketika mendakwa bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
“Saya tidak mengatakan mereka (pendakwaan) sengaja (melakukannya), tetapi, mereka `duduk’ atas jumlah sebenar sejak lima tahun lalu,” katanya.
PINDAAN
Hakim itu kemudian bertanya kepada Muhammad Shafee bagaimana pindaan terhadap jumlah dalam pertuduhan boleh memprejudiskan Najib sedangkan jumlah selepas pindaan adalah jauh lebih rendah.
“Ia akan memprejudiskan pembelaan kami, akan menyebabkan pembelaan kami menjadi kelam kabut. Ia seolah-oleh menuduh seseorang mencuri ayam tetapi sebenarnya mencuri itik,” kata Muhammad Shafee.
Oleh itu, perkara wajar ialah mengekalkan pertuduhan sedia ada atau menarik balik tiga pertuduhan tersebut.
Semalam, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan untuk meminda tiga pertuduhan membabitkan satu pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah dan dua tuduhan pengubahan wang haram.
Pindaan tersebut menjadikan jumlah penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada RM2,282,937,678.41 (RM2.28 bilion) kepada RM2,277,577,613.41 (RM2.27 bilion).
Bagi pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan, pendakwaan memohon untuk meminda jumlah RM49,930,985.70 kepada RM44,570,920.70.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, jumlah yang hendak dipinda ialah daripada RM652,600,000 kepada RM515,666,277.51 (pertuduhan ke-10) manakala bagi pertuduhan ke-21, pindaan jumlah RM12,436,711.87 kepada RM11,411,646.34.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika membalas hujahan tersebut berkata, pindaan tersebut tidak mengubah fakta bahawa wang tersebut adalah hasil aktiviti haram. Prosiding bersambung hari ini. – UTUSAN









