SEREMBAN: Pusat Hemodialisis Mawar dekat sini komited untuk terus membantu pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan termasuk termasuk dalam kalangan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bagi mendapatkan perkhidmatan di pusat perubatan tersebut.
Pengerusinya, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, selain menerusi Tabung Kebajikan PHM yang membantu meringankan beban pesakit, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan badan kebajikan lain turut membantu membiayai rawatan pesakit.
Jelasnya, ketika ini terdapat seramai 195 orang pesakit buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan mencuci buah pinggang di pusat berkenaan.
“Kami menyediakan 44 buah mesin cuci buah pinggang ketika ini dan ia mencukupi bagi menampung keperluan seramai 195 pesakit yang terdiri daripada pelbagai kaum dan pelbagai usia.
“Kebanyakan pesakit adalah golongan berpendapatan rendah, B40 dan pesara kerajaan serta bekas kakitangan swasta.
“Bagaimanapun sekiranya jumlah pesakit buah pinggang terus bertambah, kami sedia menambah mesin namun setakat ini mesin yang disediakan mencukupi kerana setiap mesin itu boleh beroperasi tiga shif setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pusat Hemodialisis Mawar Ke-26 di sini, hari ini.
Tian Hock berkata, kadar caj dikenakan bagi setiap rawatan mencuci buah pinggang adalah sebanyak RM130 dengan setiap pesakit memerlukan perkhidmatan itu dua atau tiga kali seminggu.
“Ramai dalam kalangan pesakit tidak mampu menyediakan kos berkenaan dan kami membantu mereka melalui tabung kebajikan disediakan,” katanya lagi,
Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, berpuas hati dengan operasi PHM apabila berjaya mencatat keuntungan bersih sebanyak RM2.2 juta setakat awal bulan ini.-UTUSAN.










