MERBOK: Kehidupan lebih 1,000 penanam padi di Kampung Bujang, di sini kembali terjejas apabila harga belian padi ditetapkan oleh pengilang pada RM1,250 setiap tan berbanding RM1,700 sebelum ini.
Penurunan harga sejak kelmarin itu menyebabkan pesawah tidak berpuas hati apabila mereka mengalami pengurangan pendapatan yang amat ketara sehingga menjejaskan kehidupan seharian.
Seorang pesawah, Aznan Ahmad, 37, berkata, dia menangguhkan kerja menuai padi yang diusahakan sebanyak hampir lima hektar di kawasan itu kerana menunggu keputusan makluman pembelian padi oleh pengilang pada harga baharu.
SEDIKIT
“Saya terkejut selepas dimaklumkan oleh beberapa orang rakan yang mereka mendapat pulangan sedikit apabila pengilang menetapkan harga belian padi yang baharu kepada RM1,250.
“Sepatutnya harga kekal RM1,700 atau dinaikkan lagi berikutan pesawah terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk mengerjakan sawah pada masa sekarang,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi pesawah, Azizan Md. Zaid, 61, berkata, pembelian harga padi baharu oleh pengilang yang bermula sejak kelmarin memang mengejutkannya dan dianggap menindas pesawah.
“Jika sebelum ini pengilang membeli padi dengan harga RM1,700 dan ditambah dengan subsidi yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM500 dapatlah kami meneruskan hidup.
“Namun apabila mereka menetapkan harga di bawah RM1,250 maka kami susut pendapatan sebanyak RM500 dan jumlah ini terlalu besar bagi kami,’’ katanya.
Rakannya, Muslim Mamat, 49, pula berkata, semua proses mengerjakan sawah padi kini membabitkan upah daripada mula menanam hinggalah menggunakan mesin untuk menuai sebelum diangkut lori untuk dijual ke kilang.
“Kita juga terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk membeli racun ulat, rumput serta penyakit bawaan air yang lain semasa mengerjakan sawah.
“Sudahlah padi kurang menjadi kerana ketiadaan sumber air yang baik di kawasan ini, sekarang pendapatan terjejas pula kerana pengilang membeli dengan harga rendah menyebabkan kami hidup di bawah tekanan,” katanya. – UTUSAN







