SEREMBAN: Aktiviti penerokaan hutan termasuklah pembalakan mahupun perladangan tidak dapat dinafikan antara punca berlakunya kejadian haiwan liar untuk keluar dari habitatnya dan kemudian sering kelihatan di kawasan penempatan penduduk.
Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, perkara tersebut juga berkemungkinan berlaku dalam kes konflik penduduk dan harimau kumbang yang sering dilaporkan ketika ini di Negeri Sembilan.
“Tidak dinafikan ia salah satu faktor berlakunya konflik di antara hidupan liar dengan manusia terutama isu harimau kumbang masuk ke kawasan penempatan dan kebun penduduk.
“Ia adalah kerana ekspolitasi, fregmantasi dan pemusnahan kawasan hutan yang merupakan habitat hidupan liar terutama daripada aktiviti pembalakan dan untuk tujuan pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa kejadian harimau kumbang masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan khususnya di daerah Kuala Pilah dan Rembau kebelakangan ini.
Difahamkan bilangan harimau kumbang yang berjaya ditangkap dan masuk ke perangkap dipasang Jabatan Perhilitan sepanjang tahun ini di Negeri Sembilan setakat ini mencecah jumlah 13 ekor.
Ia termasuklah tiga ekor haiwan liar itu yang masuk masuk ke dalam perangkap di Kampung Beting Ulu, Kuala Pilah sejak 18 September lalu.
Penduduk di situ turut mendakwa kekurangan makanan untuk haiwan itu seperti babi hutan di habitatnya selain aktiviti pengeluaran kayu balak telah menyebabkan harimau kumbang semakin kerap memasuki perkampungan tersebut.-UTUSAN.