Ketua Pemuda Pas: Pendirian kami jelas, AS tidak boleh bersama Israel dalam pembunuhan beramai-ramai

Ketua Pemuda Pas: Pendirian kami jelas, AS tidak boleh bersama Israel dalam pembunuhan beramai-ramai

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Isu kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza yang menyebabkan lebih 3,000 nyawa terkorban termasuk pengeboman sebuah hospital di bandar itu mencetuskan kemarahan masyarakat dunia. Krisis tersebut turut menarik perhatian Pemuda Pas yang bercadang mahu menubuhkan Liga Pemuda Parti-Parti Islam bersama Indonesia di rantau ini.

Bersama Wartawan, MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan Jurugambar, AFIQ RAZALI bekas Ketua Pemuda Pas, AHMAD FADHLI SHAARI berkongsikan peranan Pemuda Pas sebagai solidariti mereka kepada rakyat Palestin.

Pemuda Pas dalam muktamarnya semalam begitu lantang dan tegas menyatakan pendirian dalam krisis kemanusiaan di Gaza, sehingga kini apakah yang tindakan diambil?

Kita menyokong usul kerajaan yang dibentangkan di dalam Parlimen, kedua menggerakkan akar umbi untuk berdoa dan bermunajat di markas-markas seluruh negara, ketiga kita menggerakkan derma kepada anggota Pemuda sahaja yang sudah cecah RM100,000, itu baru permulaan.

Keempat, kita lancarkan bantahan secara besar-besaran melibatkan semua parti di Masjid Negara, insya-Allah kita akan menggerakkan perhimpunan besar-besaran untuk bergerak ke Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS).

Dalam ucapan pada muktamar juga, disebut berkenaan kerjasama Pemuda Pas bersama parti-parti Islam di Indonesia berkenaan isu kemanusiaan di Gaza sejak dahulu lagi, apakah resolusi yang dicapai?

Sebelum berlaku krisis terbaharu Palestin dan Israel, perjumpaan bersama parti-parti di Indonesia, resolusinya adalah kita bersepakat untuk menubuhkan Liga Pemuda Parti-Parti Islam. Sebab itu datang pada malam ini (semalam) dari Turkiye dan Indonesia yang terlibat dengan kesatuan pemuda Islam.

Adakah Pemuda Pas pernah menyatakan bantahan secara terus kepada negara-negara atau pihak yang menyokong Israel?

Antaranya yang kita sampaikan adalah melalui penarikan balik jemputan yang pernah dihantar kepada AS, United Kingdom dan Singapura, jadi apabila kita membatalkannya sekali gus menunjukkan bantahan kita kepada Israel.

Dinyatakan dalam muktamar semalam untuk Pemuda Pas menganjurkan perhimpunan kali kedua dan berarak ke Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, adakah wajar disertai parti lain seperti perhimpunan sebelum ini?

Ya, saya yakin kerajaan walaupun tidak atas secara rasmi, tetapi mereka boleh atas nama parti-parti bersama dengan kami. Apa yang ditunjukkan di Masjid Negara baru-baru ini suatu perkara yang sangat menarik dan saya rasa tidak pernah berlaku dalam sejarah.

Jadi, apakah pendirian yang hendak dinyatakan dalam perhimpunan tersebut berhubung krisis kemanusiaan di Gaza?

Pendirian yang hendak dinyatakan adalah supaya Amerika Syarikat sebagai kuasa besar tidak boleh bersama-sama dengan Israel dalam pembunuhan beramai-ramai. Malaysia sendiri perlu mengambil pendirian lebih tegas terutama kepada negara-negara yang mengisytihar sokongan terbuka kepada Israel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN