Pelajar Orang Asli maut motosikal bergesel

Pelajar Orang Asli maut motosikal bergesel 

SEORANG pelajar Orang Asli maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal rakan sebelum melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 81, Jalan Gua Musang-Lojing di Gua Musang, Kelantan semalam.UTUSAN/IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang pelajar Orang Asli maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal milik rakan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 81, Jalan Gua Musang-Lojing di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, mangsa, Rizal Zamri, 15, dari Kampung Sangwai, Pos Brooke yang menunggang motosikal Yamaha Y15 maut di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Rakannya, Sheedy Rahman, 15, dari Kampung Sendrod, Pos Brooke yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z pula mengalami parah di dada dan tangan dikejarkan ke Hospital Cameron Highland, Pahang untuk rawatan lanjut. 

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke arah Tanah Tinggi Lojing.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian semasa mengambil selekoh, motosikal yang ditunggang Sheedy dipercayai telah bergesel dengan bahagian belakang motosikal mangsa.

“Ekoran itu, kedua-duanya hilang kawalan lalu terbabas ke arah bahu jalan kemudian melanggar besi penghadang jalan.

“Akibat dari kemalangan itu, mangsa maut di tempat kejadian dan seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Cameron Highland untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, kedua-dua mangsa itu tidak memakai topi keledar semasa kejadian dan tiada lesen memandu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Siasatan lanjut masih dijalankan. Jadi orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 019-4742270,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN