PONTIAN: Seorang penjawat awam dan kekasihnya warganegara Pakistan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan sembilan pasport orang lain, bulan lalu.
Tertuduh, M. Sasikalah, 39, dan Zaheer Iqbal, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen 5, Fatimah Zahari di Mahkamah Majistret Pontian, di sini hari ini.
Lapan daripada sembilan pasport tersebut milik warga Pakistan dan satu milik warga Nepal.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pasangan tersebut ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam satu operasi di sebuah premis perniagaan di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru pada 26 September lalu.
Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sembilan pasport milik warganegara asing yang disimpan di dalam laci tempat Sasikalah bekerja di Ulu Tiram, Johor Bahru.
Pasangan tersebut didakwa di bawah Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Imigresen, Nur Lina Athirah Abdul Rahim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Mohammad Isa Mohamad Basir.
Mahkamah membenarkan Sasikalah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala Zaheer sebanyak RM12,000 dengan dua orang penjamin.
Zaheer dan Sasikalah juga diperintahkan melaporkan diri setiap bulan di Pejabat Imigresen Johor di Taman Setia Tropika dan pasport antarabangsa Zaheer diserah kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 November ini bagi sebutan semula kes tersebut. – UTUSAN