Negara pro Israel jangan angkuh ugut Malaysia

Negara pro Israel jangan angkuh ugut Malaysia

WARGA Palestin berusaha mengeluarkan mangsa di bawah runtuhan bangunan dekat kem pelarian Rafah, Gaza, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara barat pro Israel tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak untuk memberi tekanan terhadap Malaysia dan negara lain ekoran kelantangan memperjuangkan isu Palestin kerana mereka bukan lagi bergelar kuasa besar dunia.

Keadaan sudah berbeza berbanding 30 tahun dahulu apabila kebanyakan negara Islam tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sekutu Israel termasuk Amerika Syarikat (AS), sebaliknya menjalin kerjasama bersama kuasa besar lain seperti China dan Russia.

Malah, dunia sedang menghadapi peralihan kuasa terbesar dalam tempoh beberapa dekad apabila AS yang kini dilihat cenderung kepada Israel kehilangan statusnya sebagai kuasa besar dunia kepada China.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik antarabangsa, Dr. Chandra Muzaffar berkata, Malaysia tidak boleh melakukan ‘pusingan U’ dalam isu Palestin semata-mata kerana bimbang akan menerima tindak balas AS dan sekutunya apabila negara ini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada peluang perdagangan, ekonomi dan pelaburan mereka.

Kata beliau, sebaliknya AS dan sekutunya perlu bimbang dengan kemunculan China dan Russia sebagai kuasa besar apatah lagi mereka kini dilihat cenderung kepada Palestin sejak kebelakangan ini.

“Memang tidak dinafikan jika ada negara dan pihak cenderung mempertahankan rakyat Palestin, AS dan negara Barat akan mencari jalan untuk memberi tekanan sama ada daripada segi ekonomi, perdagangan dan teknologi sehingga ada terpaksa tunduk dengan mereka. Tetapi kita juga jaringan kerjasama bersama negara lain seperti China.

“Malangnya keadaan kini sebaliknya apabila AS dan sekutunya berhadapan masalah ekonomi dan dalaman sehingga ketinggalan jauh berbanding China dan Russia. Namun, mereka masih berlagak juara kuasa dunia sedangkan sedang melalui masa depan yang malap,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan menerima banyak ugutan dan teguran oleh negara-negara pro Israel khususnya AS dengan menegaskan tidak takut dengan ugutan pihak menyokong Israel ekoran kelantanganya memperjuangan rakyat Palestin.

Katanya, beliau akan terus mempertahankan Palestin selagi diberi mandat sebagai Perdana Menteri di samping menerima sokongan padu oleh seluruh rakyat Malaysia.

Justeru, Chandra yang juga Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST) berkata, Malaysia merupakan sebuah berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana negara sejak 1957 kerana memilih dasar bersahabat dengan semua pihak.

Namun, katanya, semua negara Islam termasuk Malaysia perlu bersedia menghadapi sebarang tindak balas dan tekanan ekoran kelantangan dalam memperjuangan nasib rakyat Palestin yang ditindas secara berterusan oleh Zionis.

Dalam pada itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, Malaysia tidak perlu khuatir terhadap sebarang tekanan oleh pihak cenderung Israel kerana tidak tergantung sepenuhnya kepada kuasa besar sama ada daripada segi ketenteraan, dan geopolitik.

Katanya, sebaliknya tekanan itu mungkin berlaku dari segi ekonomi oleh syarikat-syarikat pro Israel yang melabur di negara ini.

“Namun, mereka perlu berfikir panjang untuk memberi tekanan memandangkan kerjasama kedua-dua pihak menguntungkan antara satu sama lain, jadi mustahil beri tekanan kerana boleh merugikan. Selain itu, kebanyakkan negara barat dan syarikat besar, mereka bersimpati terhadap penduduk Gaza, namun tidak boleh menyatakan secara tersurat,” katanya.

Azmi berkata, Malaysia dijangka menerima tekanan lebih serius kerana dilihat terlalu tegas dalam isu Palestin berbanding dengan negara lain apabila bukan sahaja menyuarakan ketidakpuasan terhadap layanan buruk Israel, malah Perdana Menteri pernah menghubungi Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

“Ini dikatakan satu persepsi agak kuat terhadap pendirian tegas Malaysia berhubung Palestin. Memang betul, akan ada kesan negatif apatah lagi Malaysia sebagai negara kecil tetapi tidaklah berlaku secara besar-besaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN