Natasha menutup aksi tangga ke-52

Natasha menutup aksi tangga ke-52

NATASHA ANDREA OON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejohanan Golf Maybank LPGA 2023 menutup tirai, semalam, dengan Natasha Andrea Oon masih mengekalkan kedudukannya sebagai pemain terbaik Malaysia di Kuala Lumpur Golf & Country Club.

Pemain berusia 22 tahun yang dilahirkan di Jakarta, Indonesia itu menamatkan aksinya di kedudukan ke-52 berkongsi dengan dua lagi pemain, Esther Henseleit dari Jerman dan wakil Korea Selatan, Lee Mi Hyang.

Natasha yang mula bergelar pemain profesional pada tahun ini, mencatat tiga di bawah par 285 dan pada pusingan terakhir, semalam, pemain tersebut melakar satu di bawah par 71 pukulan setelah mencipta tiga birdie serta dua bogey.

Ketika ditemui pemberita, Natasha berkata, kali pertama diberi peluang bermain di depan penyokong sendiri membuatkan dia berasa gementar.

“Jujur apabila penonton mula hadir, saya boleh mendengar jeritan mereka, ia sesuatu yang menyeronokkan.

“Saya dapat melihat bagaimana Malaysia memberikan sokongan kepada golf wanita dan bagi saya kejohanan ini satu pengalaman yang bagus buat diri saya,” katanya yang turut menyimpan hasrat untuk beraksi pada Sukan Olimpik.

Pemain itu mengakui masih banyak ruang untuknya berkembang sebagai pemain dan pengalaman beraksi bersama barisan pemain handalan dunia, ia sesuatu yang cukup mengagumkan.

Mengulas mengenai perancangannya bergelar pemain profesional sepenuh masa dalam Jelajah LPGA pada tahun depan, Natasha memberitahu, persediaan rapi perlu dilakukannya, terutama pengalaman bekerja dengan kedi yang kali pertama dirasainya pada Kejohanan Golf Maybank LPGA.

Sementara itu, pemain remaja Malaysia berusia 18 tahun, Jeneath Wong berkongsi kedudukan dengan Amy Yang dari Korea Selatan di tangga ke-57 setelah melakukan satu di bawah par 287.

Seorang lagi wakil negara, Ashley Lau, 22, mengakhiri aksinya di tempat ke-65 berkongsi kedudukan dengan pemain Korea Selatan, Ji Eun-Hee apabila mencatat tiga di atas par 291.

Tiga pemain Malaysia, Alyaa Abdulghany (sembilan di atas par 297), Ng Jing Xuen (11 di atas par 299) dan Kelly Tan (13 di atas par 301), masing-masing menghuni tangga ke-73, 74 dan 75. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN