Nasib Yasin bebas atau bela diri hari ini - Utusan Malaysia

Nasib Yasin bebas atau bela diri hari ini

Nasib Yasin Sulaiman dibebas atau diperintah bela diri ditentukan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan sama ada penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dibebas atau dipanggil membela diri terhadap tiga pertuduhan dadah, akan ditentukan Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Faiz Dziyauddin akan menyampaikan keputusan pada akhir kes pendakwaan sama ada wujud kes prima facie terhadap Muhammad Yasin atau tertuduh dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan itu.

Pada 15 September lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil saksi ketujuh yang juga saksi terakhir, Profesor Dr. S. Sreeramanan yang merupakan pakar bioteknologi tumbuhan memberi keterangan.

Dalam perbicaraan sebelum ini, seorang pegawai polis yang juga saksi pendakwaan ketiga memberitahu, tertuduh kelihatan cemas dan terkejut semasa polis menyerbu unit kediaman rumahnya di Damansara.

Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pe­taling Jaya, Inspektor Darwis Aripin, 42, berkata, penyanyi itu dilihat dalam situasi demikian selepas dia dan beberapa anggota lain memperkenalkan diri sebagai polis.

Mahkamah turut mendengar keterangan seorang pegawai kimia bahawa ujian saringan yang dijalankan terhadap sampel air kencing milik penyanyi dan komposer itu mengandungi kanabis.

Rusli Ibrahim, 56, berkata, air kencing itu positif ‘cannabinoid’ manakala hasil ujian akhir mendapati sampel tersebut mengandungi ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ iaitu dadah yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurut Pegawai Sains (Kimia Hayat) yang bertugas di Makmal Dadah, Jabatan Patologi, Hospital Tengku Am­puan Rahimah Klang dekat sini, sampel air kencing itu tidak tercemar kerana disimpan pada suhu yang sepatutnya dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) makmal penyimpanan sampel.

Pada 6 Julai lalu, mahkamah diberitahu, Muhammad Yasin Sulaiman layak dibicarakan atas pertuduhan dadah meskipun laporan psikiatri yang dikeluarkan oleh Hospital Bahagia mengesahkan artis itu berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian yang didakwa dilakukannya.

LAYAK

Pihak pendakwaan memaklumkan, hasil pemeriksaan itu turut menyimpulkan Muhammad Yasin mengalami bipolar disorder, (keceleruan efektif) dan Hyperthyroidism, namun, keadaan mental tertuduh bertambah baik dan layak dibicarakan serta mampu membela diri atas pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin, 48, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Sementara bagi pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di IPD Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN