SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan berharap permohonan sebanyak RM20 juta sebagai peruntukan projek keterjaminan daripada kerajaan Persekutuan dapat diluluskan bagi memenuhi keperluan rakyat sekali gus meningkatkan pembangunan negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau berharap permohonan itu dapat diluluskan segera bagi membolehkan projek berkaitan dapat dilaksana secepat mungkin.
“Kalau itu dalam peruntukan telah diumumkan (Belanjawan 2024) ini juga memberi satu impak yang baik bagi memastikan pelaksanaan pembangunan tanah-tanah terbiar.
“Jabatan Perikanan dan Jabatan Veterinar juga akan dapat membantu penternak , petani, nelayan, peternak kolam ikan yang akan mendapat manfaat daripada permohonan yang kita telah mohon tempoh hari.
“Saya berharap dengan adanya projek tersebut ia dapat membantu masyarakat seterusnya meningkatkan pembangunan negeri dan berharap negeri dapat dipacu dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai Belanjawan Negeri Sembilan 2024 yang akan dibentangkan kelak, Menteri Besar berkata, dijangkakan peruntukan yang lebih besar akan diberikan kepada projek dan agenda keterjaminan makanan.
“Tidak banyak tapi besar dalam (belanjawan negeri). Diharapkan ia juga akan dapat menggerakkan lebih segera untuk pembangunan pertanian di negeri sembilan jikalau yang kita mohon itu dapat.
“Antara yang besar (keterjaminan makanan) dan diharap akan melonjakkan contohnya kawasan penanaman padi,” katanya.
Aminuddin sementara itu menjelaskan, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang di negeri ini.
“Saya kata belum dan belum ada sebarang keputusan. Ia akan diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 31 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 36 buah kerusi keseluruhannya.
Jumlah itu menyaksikan PH-BN membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga. Perikatan Nasional (PN) pula menang baki lima buah kerusi DUN iaitu Paroi, Labu, Serting, Bagan Pinang dan Gemas.-UTUSAN.









