Mayat lelaki lengkap berpakaian ditemukan terapung - Utusan Malaysia

Mayat lelaki lengkap berpakaian ditemukan terapung

ANGGOTA bomba mengangkat mayat yang ditemukan terapung di kawasan berbatu di Port Dickson Waterfront tengah hari tadi.-GAMBAR/IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian ditemukan dalam keadaan terapung di laut berhampiran kawasan berbatu di Port Dickson Waterfront pagi tadi. 

Si mati dikenali sebagai Chay Yean Hong berusia 56 tahun dan berasal dari Seremban.

Ketua Balai dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh orang awam tentang penemuan mayat lelaki tersebut.

“Kami telah dimaklumkan oleh orang awam mengenai penemuan mayat dan khidmat khas anggota bomba untuk mengangkat mayat tersebut telah dijalankan.

“Mayat tersebut telah berjaya dibawa naik menggunakan pengusung oleh pihak bomba dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah menerima maklumat kejadian berkenaan daripada orang awam pada pukul 11.55 pagi.

“Pihak polis dan bomba telah diarahkan ke lokasi kejadian dan pihak bomba telah membawa naik mayat seorang lelaki yang dalam keadaan lengkap berpakaian ke darat.

“Pihak ambulans dari Hospital Port Dickson yang tiba pada pukul 12.22 tengah hari telah mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan si mati telah menjumpai dokumen milik si mati yang berada di dalam dompet dan tiada kesan kecederaan lain pada anggota badan,” katanya.

Menurut Aidi Sham, pihak polis telah menghubungi waris si mati dan temubual dengan keluarga si mati memberitahu bahawa si mati mempunyai masalah tekanan perasaan dan masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

“Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya