Masjid, NGO anjur program solidariti kepada Palestin - Utusan Malaysia

Masjid, NGO anjur program solidariti kepada Palestin

AHLI-ahli kelab PCMF Zon Negeri Sembilan berkumpul di kawasan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban pagi tadi sebelum memulakan program konvoi Kami Bersamamu Palestin ke Pantai Bagan Pinang, Port Dickson.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Prihatin dan simpati dengan nasib dialami rakyat Palestin pelbagai pihak di sini menganjurkan aktiviti dan program sebagai tanda solidariti serta sokongan mereka susulan situasi semasa yang berlaku di Gaza.

Ia termasuklah ahli-ahli Kelab Pajero Malaysia & Frenzz (PCMF) Zon Negeri Sembilan yang menyertai konvoi mengibarkan bendera Palestin dari Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini sehinggalah ke Pantai Bagan Pinang, Port Dickson.

Ketua konvoi berkenaan, Zaim Shahari berkata, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program berkenaan bersama beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Aman Palestin dan ia melibatkan kira-kira 50 buah kenderaan pacuan empat roda.

“Mesej yang ingin kami sampaikan adalah apa yang terjadi di Gaza, Palestin bukanlah lagi isu kemanusiaan kerana isu berkenaan sudah berlaku 70 tahun dan penduduk di sana terus berdepan penindasan rejim Israel.

“Kami mahu berkempen untuk pembebasan sepenuhnya negara Palestin termasuk Masjid Al-Aqsa. Kempen ini akan berterusan, konvoi ini adalah simbolik sokongan kami dan solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Menurut Zaim lagi, di Bagan Pinang kesemua mereka akan mengibarkan bendera Palestin di sana selain beberapa aktiviti lain turut diadakan seperti pidato.

Pengurus Cawangan Aman Palestin Negeri Sembilan, Mohamad Isfahmi Mohamad Nordin pula berkata, walaupun usaha dilakukan mereka mungkin kecil namun ia menjadi mesej kepada dunia bahawa rakyat negara ini bersama-sama dalam berjuang bersama rakyat Palestin.

“Mahu ke sana dan berjuang angkat senjata mungkin kita tidak mampu, tapi inilah sebahagian jihad yang mampu dibuat, kita kena bangkit tunjukkan kita juga berjuang dalam membantu mereka,” katanya.

DR. Zainal Ariffin Omar (dua dari kanan) bersama kanak-kanak yang menyertai aktiviti membuat kolaj bendera Palestin sempena program Palestin Kita Bersama di Masjid Dato’ Klana Petra Mubarak Al-Haj, Sungai Landak, Ampangan, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Masjid Dato’ Klana Petra Mubarak Al-Haj, Sungai Landak, Ampangan di sini turut mengadakan aktiviti sokongan kepada penduduk Palestin menerusi program Palestin Kita Bersama.

Pengerusi Jawatankuasa masjid tersebut, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, penganjuran program itu juga adalah bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu Palestin.

“Kita kena faham isu yang berlaku ketika ini dan kita perlu tanya kepada diri apa yang kita boleh buat dan bantu. Penganjuran program sebegini antara perkara yang boleh kita buat bagi meningkatkan kesedaran itu.

“Dalam kempen kesedaran ini, kami panggil penduduk sekitar termasuk golongan kanak-kanak dan remaja, ada pertandingan poster digital, video pendek dan kolaj bagi menarik kehadiran mereka.

“Kemudian ada juga aktiviti ceramah daripada NGO mengenai isu-isu semasa berkenaan Palestin, pameran dan akhirnya nanti ada bacaan Qunut Nazilah ketika solat zuhur,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN