PETALING JAYA: Isu air Malaysia dan Singapura yang tertangguh sejak sekian lama dianggap selesai apabila pemimpin kedua-dua negara mencapai kata sepakat untuk sama-sama meningkatkan pengeluaran air di Sungai Johor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melihat kesepakatan itu menguntungkan kedua-dua negara.
“Singapura setuju untuk bekerjasama dengan Johor dalam menyelenggara projek memperluas dan meningkatkan keupayaan pengeluaran air di Sungai Johor,” kata beliau pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di republik itu semalam.
Menurut beliau, langkah seterusnya Johor dan Singapura akan melakukan kaji selidik bagi menilai keupayaan meluaskan Sungai Johor, seterusnya meningkatkan pengeluaran air.
Katanya, Malaysia mengalu-alukan kesediaan Singapura untuk sama-sama membantu termasuk dari segi kewangan.
“Isu air itu memerlukan kesediaan Johor untuk melebar dan memperbaiki keupayaan pengeluaran air yang bakal memberi manfaat pertamanya kepada rakyat Johor sendiri dan sudah tentu kepada keseluruhan negeri Johor.
“Kemudian bermanfaat kepada Singapura yang memang kita terikat dengan perjanjian lama,” katanya.
Menurut Anwar, penyelenggaraan Sungai Johor itu juga memerlukan sedikit sokongan suntikan kewangan Singapura namun projek tersebut perlu disegerakan.
KEUNTUNGAN
Kata beliau, penangguhan tersebut tidak akan memberikan keuntungan terhadap negara bahkan harga air dibekal kepada negara jiran itu terus kekal pada kadar lama.
“Mempercepatkan itu maknanya ada keupayaan meningkatkan sedikit kos harga air dan kesediaan Singapura bersama menyelenggarakan projek di Sungai Johor yang akan memerlukan juga sedikit suntikan kewangan dari Singapura.
“Jadi bagi saya hal ini telah kita capai malah kita bersetuju. Singapura dan Johor boleh menyegerakan kaji selidik untuk melihat keupayaan membesarkan sungai dan pengeluaran air di negeri tersebut. Tetapi ini kita akan bincangkan dengan kerajaan negeri Johor,” katanya.
Pada masa ini, Singapura membeli air mentah dari Johor pada harga 3 sen setiap 1,000 gelen. Pada masa sama, negara tersebut juga menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.
Sementara itu, Singapura dan Malaysia sedang menjalankan kajian daya maju bagi pengukuhan ekosistem Zon Ekonomi Khas (SEZ) antara kedua-dua negara, untuk mengenal pasti aspek yang harus ditumpukan pada zon ekonomi tersebut pada masa hadapan.
Hsien Long berkata, Malaysia dan Singapura kemudiannya akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan hasil daripada kajian tersebut yang diharapkan dapat dimeterai awal tahun depan.
“Pada peringkat awal, saya rasa ada tiga perkara yang anda mahu lakukan (dalam SEZ), pertamanya menambah baik aliran barangan antara kedua-dua pihak, kerana dengan adanya SEZ akan ada pengaturan cukai khas dan gudang berbon, oleh itu akan memudahkan lagi aliran di sempadan.
“Keduanya, penyusunan aliran keluar masuk yang lebih baik dan mudah bagi mereka yang bekerja di kedua-dua belah tambak dan seterusnya syarikat di SEZ akan dapat memperoleh kakitangan yang mereka perlukan, gabungan pekerja profesional, pekerja mahir dan pekerja am lain yang sesuai.
“Ketiganya adalah untuk SEZ mengukuhkan ekosistem wilayah pembangunan Iskandar serta Singapura,” katanya. – UTUSAN










