KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelabur asing.
Perdana Menteri berkata, bagi separuh pertama 2023, Malaysia berjaya meraih pelaburan diluluskan bernilai RM132.6 bilion iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini.
Katanya, pencapaian ini merangkumi RM63.3 bilion pelaburan langsung asing melibatkan keseluruhan 2,651 projek dan dijangka menghasilkan lebih 51,000 peluang pekerjaan.
“Malaysia juga kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong. Setakat Ogos 2023 menyaksikan ketibaan pelancong asing hampir 13 juta pelancong, iaitu lebih tiga kali ganda ketimbang (berbanding) tahun lalu.
“Indikator-indikator inilah yang sebenarnya merupakan kekuatan hakiki negara. Insya-Allah, dengan itu prestasi ekonomi akan terus pulih meski kita menghadapi tantangan ringgit,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN