Lima  LCS dijangka siap  2029,  tambahan kos RM2.098 bilion  - Utusan Malaysia

Lima  LCS dijangka siap  2029,  tambahan kos RM2.098 bilion 

Kerajaan dijangka menerima lima LCS pada 2029
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijadual akan menerima kelima-lima  kapal tempur pesisir pantai (LCS) pada tahun 2029 dan memerlukan tambahan kos RM2.098 bilion daripada kos asal RM9.128 bilion.

Perkara itu antara  dirumus Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di dalam laporan prosiding berhubung kemajuan projek pembinaan LCS, milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023. 

Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi dalam rumusan jawatankuasa mendapati, tempoh masa pembinaan LCS dilanjutkan kepada 83 bulan. 

Sehubungan itu, TLDM dijangka memperoleh kelima-lima LCS pada 2029  berbanding kontrak asal kapal  LCS kelima  sepatutnya diserah pada tahun 2022.

“Walaupun bilangan LCS dikurangkan kepada lima unit, namun, kos pembinaan LCS meningkat daripada RM9.128 bilion kepada RM11.22 bilion dengan pertambahan sebanyak RM2.098 bilion. 

“Ini berpunca daripada kos bagi reka bentuk (RM0.211 bilion), harga peralatan (RM1.214 bilion), insurans dan risiko (RM0.466 bilion), kos kewangan (RM0.143 bilion), kos pengurusan projek (RM0.066 bilion),” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini. 

Laporan penuh berhubung kemajuan projek pembinaan LCS boleh didapati di laman sesawang PAC bermula hari ini. 

PAC terdahulu mendedahkan, tiada satu pun LCS disiapkan meskipun kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus. 

JABATAN PEGUAM NEGARA

Selain itu, Shu Qi berkata, Supplement Agreement (SA) 6 yang ditandatangani pada 26 Mei 2023 tidak mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).

AGC menjelaskan pihaknya telah memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan bahawa perlu ada tindakan lanjut bagi SA 6 dan sepatutnya dikemukakan kembali kepada AGC sebelum ditandatangani kementerian.

“Keputusan kementerian membelakangkan AGC dalam menandatangani SA 6 ialah tindakan tidak wajar kerana boleh memberi implikasi perundangan kepada kerajaan dan ia tidak boleh berulang,” katanya. 

Selain itu, katanya, melalui pelan mobilisasi terkandung dalam SA 5 ditandatangani pada 31 Mei 2022, Kementerian Pertahanan merancang dengan lebih teliti selepas kegagalan menepati jadual asal pembinaan bagi enam LCS yang sepatutnya siap pada 2023.

“Isu utama berkaitan rekaan terperinci LCS belum diselesaikan. Kini berada pada kadar 96 peratus siap di peringkat kontraktor pembinaan dengan hanya 84 peratus sahaja telah melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh pihak Naval Group dari Perancis sebagai penguasa reka bentuk LCS.

“Kontraktor pembinaan memberi jaminan bahawa rekaan terperinci perlu disiapkan sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA 6.

“Bagaimanapun, keputusan kerajaan mengambil alih BNS melalui Ocean Sunshine Bhd. (SPV) dapat membantu mengembalikan kepercayaan pemegang saham, pihak bank dan pihak pembekal dalam pelaksanaan projek pembinaan LCS,” katanya. 

Sementara itu, PAC mengesyor Kementerian Pertahanan supaya memastikan pelaksanaan pelan mobilisasi mengikut syarat  ditetapkan dengan kapal pertama LCS disiapkan pada Mei 2024 dan diserah kepada TLDM pada Ogos 2026.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya