JASIN: Kejernihan air sungai Laman Belia Sungai Rambai di sini tidak lagi mencuri tumpuan apabila dicemari kemudahan awam yang tidak diselenggara.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati banyak kemudahan awam yang rosak serta usang seperti jeti, peralatan senaman, taman permainan dan tandas awam sementara lantai tempat rehat dipenuhi najis burung.
Pengunjung, Mahmud Rosedi, 61, berkata, banyak perkara perlu diberi perhatian terutama melibatkan aspek keceriaan dan kebersihan.

Katanya, kemudahan yang rosak dan tidak diselenggara juga boleh membahayakan keselamatan pengunjung khususnya kanak-kanak.
“Laman Belia ini bukan asing bagi saya kerana beberapa kali datang untuk bersantai bersama keluarga. Banyak perubahan berlaku dan kawasan ini semakin menjadi tumpuan ramai.
“Sedikit mengecewakan apabila kemudahan yang disediakan tidak dijaga dengan baik. Najis burung merata-merata termasuk di bawah jejambat yang secara tidak langsung memberi gambaran tahap kebersihan kawasan ini.
“Terdapat juga peralatan permainan kanak-kanak yang rosak seperti buaian dan gelongsor. Saya harap perkara ini diberi perhatian segera kerana isu ini akan memberikan imej negatif kepada sektor pelancongan Melaka,” katanya yang datang dari Muar, Johor.

Sementara itu, penduduk, Abu Nazim Abu Bakar, 17, berkata, Laman Belia akan dipenuhi pengunjung ketika musim cuti sekolah dan hujung minggu.
Menurutnya, kehadiran orang ramai menjadi bukti bahawa kawasan itu memiliki tarikan tersendiri dan perlu diberi perhatian sewajarnya.
“Perbaiki dan tambah kemudahan untuk keselesaan pengunjung. Kawasan ini dijaga dengan rapi sejak 2014 tetapi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tempat ini semakin suram.
“Selepas itu, bahagian di Jalan Ampas tidak lagi terurus sedangkan Laman Belia ini sangat luas. Tiada guna memiliki air sungai yang jernih jika pemandangan (kemudahan) sekitar menyakitkan mata,” ujarnya. – UTUSAN









