Kerajaan tidak diberitahu plaza tol di pembinaan Gohtong Jaya - Syefura - Utusan Malaysia

Kerajaan tidak diberitahu plaza tol di pembinaan Gohtong Jaya – Syefura

YOUNG SYEFURA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Pembinaan plaza tol di Jalan Gohtong Jaya, Genting Highlands yang mencetuskan rasa kurang senang orang ramai tidak dimaklumkan kepada kerajaan.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, pihaknya sudah mendapat pengesahan bahawa usaha pembinaan plaza tol tersebut tidak dimaklumkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya.

“Sebarang usaha projek pembangunan atau kemajuan di tanah persendirian haruslah mendapat kebenaran merancang pihak berkuasa tempatan (PBT). Setakat ini, pihak Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan kerajaan negeri tidak menerima apa-apa permohonan berkenaan pembinaan plaza tol berkenaan,” kata beliau dalam kenyataan semalam.

Young Syefura berkata, beliau mengambil maklum mengenai isu tular mengenai pembinaan plaza tol di Jalan Gohtong Jaya yang menimbulkan keresahan orang ramai.

Bagaimanapun, kata beliau, Genting Highlands tanah persendirian dan sejak dahulu hingga kini jalan ke pusat peranginan tersebut diuruskan pihak Genting Highlands.

Oleh itu, kata Young Syefura, MPB mengeluarkan arahan menghentikan kerja-kerja pembinaan sehinggalah pemaju menghantar permohonan untuk diteliti sebelum dinilai dan diluluskan.

PERANGINAN

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pengurusan pusat peranginan itu bukannya membina plaza tol sebaliknya perlu menyediakan parkir percuma kepada pengunjung ke situ.

“Sekian lama pihak berkenaan mengaut keuntungan ratusan juta, jadi perlu ada tanggungjawab sosial korporat bukan sahaja di Genting Highlands tetapi juga dari jalan utama ke situ dari arah Genting Sempah dan Batang Kali, Selangor.

“Untuk tujuan apa mereka buka pusat peranginan itu? Tentunya bagi menarik pelanggan atau orang ramai ke situ. Jika tiada kemudahan jalan raya yang sempurna bagaimana orang ramai hendak ke situ?

“Sepatutnya bukan sahaja tidak perlu plaza tol, jalan raya utama ke Genting Highlands perlu sentiasa diselenggara dengan baik dan kemudahan parkir juga sudah sampai masanya diberikan secara percuma kepada pelanggan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Adansura Rabu pula berkata, pemilik kawasan pelancongan di Genting Highlands perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum melaksanakan bayaran tol.

Bagaimanapun, menurut beliau, tindakan sedemikian jika tidak dihalang akan menjadi rujukan kepada mana-mana pihak untuk mengutip bayaran sesuka hati.

“Jadi adakah selepas ini semua pengguna jalan raya yang akan ke Genting Highlands dikenakan bayaran tol tetapi tanpa sebarang kelulusan mana-mana pihak.

“Adakah dibenarkan pihak persendirian sebegini mengadakan kutipan tol, kononnya itu atas tapak atau tanah persendirian. Bagaimana jika saya ada tanah dan saya ada laluan orang awam saya kenakan tol kepada orang yang lalu tanah saya,” katanya dalam sidang akhbar pada Muktamar Pas Tahunan Ke-69 di Shah Alam semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN