Kerajaan mahu kekalkan Shuttle Tebrau selepas RTS beroperasi - Utusan Malaysia

Kerajaan mahu kekalkan Shuttle Tebrau selepas RTS beroperasi

Nahas pesawat
ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan berhasrat untuk mengadakan rundingan dengan Singapura bagi mengekalkan perkhidmatan Shuttle Tebrau antara JB Sentral, Johor dan Woodlands, Singapura.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia bagi memastikan lebih banyak laluan keluar masuk antara Malaysia dan Singapura meskipun selepas Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura beroperasi pada Disember 2026.

“Dalam perjanjian dengan Singapura, antara syarat yang dipersetujui, apabila siapnya perkhidmatan RTS dan bermula beroperasi, maka shuttle ini akan diberhentikan.

“Namun, saya faham tidak salah ada lebih banyak connectivity antara kedua-dua negara memberi pilihan lebih kepada penumpang. Jadi, kementerian berusaha berunding dengan Singapura supaya perkhidmatan dikekalkan walaupun selepas RTS mula beroperasi,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, purata penumpang sehari Shuttle Tebrau adalah 8,635 orang, meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding rekod penumpang sebelum Covid-19 iaitu sejumlah 8,077 orang sehari pada 2019.

“Kerajaan juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak Singapura bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan Shuttle Tebrau yang meliputi penambahan kekerapan operasi tren dari 31 trip kepada 36 trip dan peningkatan jumlah koc setiap operasi tren daripada empat koc kepada lapan koc.

KAPASITI

“Penambahbaikan ini akan menawarkan peningkatan kapasiti bilangan penumpang sehingga 13,760 orang sehari,” katanya.

Namun, katanya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Kementerian Pengangkutan masih menunggu maklum balas daripada Immigration and Checkpoints Authority (ICA).

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) mengenai jumlah penumpang perkhidmatan KTMB Shuttle Tebrau dan berunding dengan Singapura untuk menambah kapasiti perkhidmatan.

Selain itu, katanya, Kementerian Pengangkutan juga sedang mempertimbangkan beberapa langkah untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

“Antaranya, menambah lorong motosikal, menambah kaunter dan jangka panjang projek RTS ini dapat menyuraikan sedikit kesesakan di Tambak Johor.

“Kita juga akan melihat pelbagai cara lain lagi menambah connectivity, umpamanya ada juga cadangan mengadakan perkhidmatan feri di antara Johor dan Singapura,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN