Kakak maut, adik cedera parah dalam nahas dua buah kenderaan - Utusan Malaysia

Kakak maut, adik cedera parah dalam nahas dua buah kenderaan

KEADAAN kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 18, Jalan Seremban Tampin, di Rembau tengah hari tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang wanita maut manakala adik lelakinya cedera parah selepas mereka terbabit dalam kemalangan dua buah kenderaan di Kilometer 18, Jalan Seremban Tampin, di sini, kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

Pemandu kereta jenis Perodua Kenari, Nurul Huda Ariffin, 27, meninggal dunia di Hospital Rembau manakala adiknya Muhamad Haziq Arifin, 17, turut dikejarkan ke hospital yang sama bagi rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kedua-dua mangsa beralamat di Kuala Klawang Jelebu.

“Kira-kira pukul 4.50 petang, pihak kami menerima maklumat dari Hospital Rembau memaklumkan Nurul Huda telah meninggal dunia. 

“Adiknya yang turut mengalami kecederaan menerima rawatan lanjut di Zon Kuning, Hospital Rembau manakala, pemandu kereta jenis Perodua Myvi iaitu lelaki berusia 26 tahun beralamat di Taman Pedas Indah pula mengalami kecederaan patah kaki.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian apabila Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Tampin. Sampai di tempat kejadian Perodua Myvi itu telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan merempuh kereta Perodua Kenari yang datang dari arah Tampin menghala ke Seremban,” katanya hari ini.

Menurut Hazri, bedah siasat akan dijalankan esok kira-kira 9 pagi dan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN