KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia membekukan cuti pegawai dan anggotanya di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi bencana banjir sepanjang peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pembekuan cuti itu akan dilaksanakan secara berperingkat sebaik sahaja bencana itu umumkan oleh sekretariat banjir di daerah dan negeri yang terlibat.
“Kita telah membuat arahan seramai 80 peratus pegawai dan anggota bomba perlu bersiap sedia untuk melaksanakan tugas sepanjang MTL dan hanya 20 peratus dibenarkan cuti.
“Bagaimanapun pemberian cuti berkenaan adalah tertakluk kepada situasi bencana dan ditetapkan secara berperingkat mengikut daerah dan negeri yang terlibat dengan bencana banjir, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kesiapsiagaan MTL di Pejabat JBPM Kelantan, Tunjong, di sini hari ini.
Abdul Wahab memberitahu, selain itu JBPM turut melaksanakan pemantauan awal di 5,648 lokasi panas seluruh negara yang berisiko dilanda banjir.
Katanya, sebagai langkah awal JBPM telah merangka pendekatan dengan mewujudkan pangkalan hadapan untuk kawasan Pantai Timur bagi menempatkan aset-aset keselamatan lebih awal.
“Langkah ini bagi memudahkan pergerakan aset keselamatan pada bila-bila masa. JBPM turut mewujudkan Pasukan Gerak Cepat Monson Timur Laut (MTL) sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.
“Pasukan ini melibatkan pegawai dan anggota yang mempunyai pelbagai kemahiran dan serta kepakaran dalam pelbagai bidang bagi membantu mangsa banjir seperti Pasukan Penyelamatan di Air, Pasukan Pengendalian Bot dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan,” ujarnya.-UTUSAN










