JKSNS terima 2,000 kes perceraian setiap tahun - Utusan Malaysia

JKSNS terima 2,000 kes perceraian setiap tahun

TUANKU Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri (tengah) bersama hadirin yang hadir pada Majlis Perasmian Program Karnival Literasi Undang-Undang Syariah Tahun 2023 anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan di Dewan Perdana Tampin, Tampin hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Sebanyak kira-kira 2,000 kes bagi tujuan perceraian diterima pihak Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) di negeri pada setiap tahun.

Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sembilan, Mohd. Irdzwan Ghazali berkata, daripada jumlah tersebut kes tertinggi berlaku di daerah Seremban manakala kes terendah yang diterima adalah di daerah Jelebu. 

“Perceraian ini merupakan pilihan terakhir sekiranya pasangan suami isteri tidak lagi mempunyai persefahaman atau menjadi mangsa keganasan rumah tangga. 

“Bagaimanapun, bagi membantu pasangan suami isteri yang salah satu daripada mereka tidak bersetuju untuk bercerai walaupun sebelah pihak lagi bertekad untuk bercerai dan telah memfailkan perceraiannya di mahkamah, Mahkamah Syariah akan mengarahkan untuk membentuk jawatankuasa pendamai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Karnival Literasi Undang-Undang Syariah Tahun 2023 anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan di Dewan Perdana Tampin, di sini, hari ini.

Program tersebut telah disempurnakan perasmian oleh Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin.

Sementara itu, Mohd. Irdzwan mendedahkan mangsa keganasan rumah tangga bukan hanya membabitkan golongan isteri sahaja, bahkan si suami serta anak-anak mahupun individu yang menetap bersama pasangan suami isteri berkenaan juga berpotensi menjadi mangsa.

Tanpa berkongsikan lokasi kes, menurut beliau, terdapat kes suami ditetak isteri dan juga kes penderaan emosi pasangan yang sukar untuk dibuktikan. 

“Ia seperti sudah lama tidak berinteraksi dalam menguruskan hal-hal rumah tangga termasuk menguruskan pembelian rumah serta kereta sehingga ada kes yang mencecah sehingga 10 tahun.

“Oleh itu, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan menganjurkan program ini bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan komuniti masyarakat dalam menangani isu-isu kekeluargaan khususnya berkaitan keganasan rumah tangga,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Syed Razman meminta sebarang perlakuan keganasan rumah tangga terhadap wanita mahupun lelaki dihentikan serta-merta. 

Menurutnya. usaha untuk mengekang masalah keganasan itu bukanlah tanggungjawab individu atau mangsa mahupun kerajaan semata-mata, sebaliknya penglibatan semua pihak termasuk orang sekeliling mangsa, jiran tetangga dan rakan sekerja adalah amat penting.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya