‘Jentera Mercedes 2024 mampu cabar Red Bull’

‘Jentera Mercedes 2024 mampu cabar Red Bull’

LEWIS Hamilton yakin jentera F1 Mercedes 2024 mampu memberi saingan kepada pasukan Red Bull selepas menampilkan aksi memberangsangkan di tempat kedua dalam Grand Prix Mexico, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton merasakan dia sudah bersedia untuk bertarung de­ngan Red Bull musim depan dan menaruh keyakinan tinggi bahawa Mercedes mampu membina sebuah jentera yang hebat untuk 2024.

Keyakinan itu hadir selepas Hamilton menampilkan aksi memberangsangkan ketika perlumbaan di Grand Prix Mexico kelmarin apabila meraih tempat kedua di belakang pelumba Red Bull, Max Verstappen, sementara Charles Leclerc dari Ferrari akur berada di tempat ketiga.

Hamilton menjelaskan, pe­ningkatan yang ditampilkan jentera Mercedes sejak ke­belakangan ini telah membantu menaikkan keyakinan dirinya semula.

“Saya amat berbangga de­ngan pasukan saya dan saya memang menaruh keyakinan tinggi terhadap mereka.

“Saya tahu kami boleh membina sebuah jentera yang hebat. Kami tidak berupaya untuk me­lakukannya untuk dua musim lalu, tetapi kini kami sudah mampu untuk membinanya.

“Tiada siapa mahu meniru orang lain, mereka akan mencari identiti sendiri. Tetapi saya rasa kami menunjukkan pe­ningkatan dan dalam masa yang sama saya dengar Red Bull juga semakin maju.

“Jadi kami perlu perancangan yang lebih bagus, bagi membolehkan kami bersaing dengan mereka (Red Bull). Mereka laju di jalan yang lurus dan kami agak ketinggalan kepada mereka,” jelas Hamilton.

Dalam masa yang sama, pelumba berusia 38 tahun itu tidak menyangka mampu beraksi baik pada hari perlumbaan selepas bergelut ketika pusingan kela­yakan.

Biarpun juara musim ini sudah pun sah menjadi milik Verstappen, Hamilton yang kini berada di tangga ketiga keseluruhan masih berpeluang untuk mencabar kedudukan naib juara yang kini masih terbuka antara Sergo Perez, Carlos Sainz serta Fernando Alonso. – Agensi/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN