PETALING JAYA: Kerajaan diingatkan supaya tidak mengumumkan terus sebarang perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan negara-negara lain sebelum Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan permohonan syarikat melabur di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr. Ong Kian Ming berkata, pengumuman seperti itu dikhuatiri mendorong pihak tertentu mempertikai MoU sedangkan ‘hasilnya’ masih belum kelihatan.
Bekas Ahli Parlimen Bangi dari DAP itu berkata, adalah lebih baik jika kerajaan mendapatkan pengesahan MIDA dahulu jika ada permohonan syarikat-syarikat diluluskan untuk melabur dalam negara.
“Saya rasa masih lagi ada ruang untuk memastikan bahawa projek-projek di bawah MoU dilaksana dalam masa yang sesuai.
“Namun, saya berpandangan, mungkin lebih baik untuk kerajaan ketika ini tidak mengumumkan apa-apa MoU sehingga permohonan melabur di Malaysia diluluskan oleh pihak MIDA sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semasa perbahasan di Dewan Rakyat kelmarin, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mendakwa kerajaan kurang proaktif mengatasi masalah ekonomi termasuk berkaitan pelaburan bernilai beratus bilion yang diumumkan sebelum ini.
Beliau turut mempersoal pelbagai MoU yang ditandatangan bersama pelbagai sektor dan negara.
Dalam pada itu, Kian Ming turut bersetuju dengan Hishammuddin bahawa kerajaan harus mengambil tindakan susulan selepas menandatangani MoU.
“Saya percaya, MITI dan MIDA sedang melaksanakan tugas mereka untuk tindakan susulan ini dengan syarikat-syarikat yang terlibat terutama mereka yang mahu memohon insentif daripada kerajaan Pusat.
“Sebagai langkah pembaharuan, MIDA perlu beralih kepada dasar insentif yang tidak memberi terlalu banyak fokus kepada potongan cukai sahaja. Tetapi, mengambil kira insentif lain seperti insentif pembangunan modal insan,” katanya. -UTUSAN










