LOMBOK: Suatu ketika dahulu para pelajar cacat penglihatan di Sekolah Yayasan Pelita Harapan terpaksa berdiri dan bersesak dalam lori yang disewa untuk ke pelbagai acara atau undangan pihak luar.
Namun kini, golongan istimewa itu tidak lagi perlu bersesak dalam keadaan panas apabila pasar raya Econsave dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) menghadiahkan sebuah van untuk mereka.
Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam yang dalam kunjungan pertama ke sekolah tersebut pada 2019 menyaksikan situasi yang dialami golongan tersebut mengakui begitu tersentuh dan segera melancarkan kempen kutipan dana bagi membeli sebuah van untuk mereka.
“Sebelum ini, mereka terpaksa menyewa lori jika hendak ke mana-mana, khususnya ketika menerima undangan daripada pelbagai pihak.
“Kesusahan mereka menjadi pencetus bagi kami untuk melancarkan sebuah tabung untuk membiayai dana dan kemudian berjaya membeli sebuah van dengan harga RM140,000,” katanya selepas majlis simbolik penyerahan van sumbangan Econsave dan MyCare kepada Pengetua sekolah berkenaan, Ahmad Fatani.
Yang turut hadir, Pengurus MyCare Johor, Rozi Abdul Ghani dan Presiden Kelab Majestic Motor Group, Zulkarnain Ishak.
Mas Imran berkata, van berkenaan digunakan untuk membawa pelajar sekolah itu untuk menghadiri aktiviti luar dengan lebih mudah dan selesa. – UTUSAN











