JOHOR BAHRU: Agak mengejutkan apabila warga pendidik merupakan jumlah tertinggi dalam kalangan penjawat awam yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di negeri ini.
Perkara itu didedahkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam Program Town Hall Discussion ‘Ancaman Scammer Masa Kini’ di Dewan Muafakat, Menara Bank Simpanan Nasional (BSN) Negeri Johor, di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan statistik sejak Januari hingga September lalu, sebanyak 117 kes daripada 388 laporan yang diterima membabitkan penjawat awam adalah dalam kalangan guru dan jumlah kerugian yang direkodkan dalam tempoh yang sama ialah RM4.24 juta.
“Daripada siasatan, kita dapati bahawa jumlah guru kira-kira 50,000 di negeri ini atau lebih, mungkin itulah salah satu sebab ramai guru (jadi mangsa)
“Mungkin ‘scammer’ ni tak pilih mangsa, tapi mungkin kerana ramai komuniti guru di sini itulah masalah akan yang menyebabkan (guru) akan menjadi mangsa.
“Menerusi town hall yang kita lakukan ini, kita didik, beri penerangan supaya dapat mengelakkan mereka jadi mangsa, yang lain-lain bukan guru pun ada juga kena,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, dalam tempoh yang sama, jumlah kerugian akibat penipuan ‘scammer’ membabitkan penjawat awam adalah RM10 juta.
Walau bagaimanapun, jumlah kerugian itu merekodkan penurunan ketara berbanding RM109 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Namun, katanya, jumlah laporan yang diterima pihaknya meningkat, iaitu 388 kes berbanding 322 kes tahun lalu.
“Pelbagai jenis sindiket penipuan yang kini bergerak aktif untuk menjerat mangsa, antaranya Macau scam, scam cinta, pekerjaan, bungkusan serta pinjaman online.
“Pemahaman mengenai bentuk penipuan ‘scammer’ perlu ditingkatkan menerusi pendidikan awam formal tentang ancaman scammer ini termasuk di sekolah, kolej dan tempat kerja,” katanya. – UTUSAN