GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin berada dalam malapetaka sekali gus merayu lebih banyak bantuan antarabangsa ketika keadaan di sana bertambah buruk.
Lima agensi PBB termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dalam kenyataan bersama menegaskan, Gaza dalam situasi yang amat terdesak dengan kira-kira 1.6 juta penduduknya terutama kanak-kanak kini bergantung kepada bantuan daripada masyarakat antarabangsa.
“Ia kini malapetaka. Dunia mesti melakukan lebih banyak lagi usaha untuk membantu Gaza. anak-kanak, wanita hamil dan warga emas kekal paling terdedah. Hampir separuh penduduk Gaza adalah kanak-kanak.
“Selain gencatan senjata, akses kemanusiaan segera tanpa had di seluruh Gaza adalah perlu untuk membenarkan sukarelawan mendekati dan menyampaikan bantuan kepada orang awam yang memerlukan,” kata kenyataan itu seperti dilapor agensi berita AFP.
Kenyataan itu dibuat ketika Israel menegaskan akan meningkatkan serangannya di kawasan berpenduduk padat itu dalam usahanya menambah tekanan ke atas Hamas.
Serangan Israel setakat ini telah meragut nyawa kira-kira 4,385 rakyat Palestin dan memusnah sebahagian bandar Gaza, antaranya hospital dan kediaman penduduk.
Pegawai kanan Israel pada masa yang sama memberi isyarat kepada anggota tenteranya agar bersedia untuk memasuki wilayah Palestin yang dikepung itu.
Tiga lagi agensi yang menandatangani kenyataan tersebut adalah Program Makanan Sedunia PBB (WFP), Program Pembangunan PBB (UNDP) dan Dana PBB untuk Aktiviti Penduduk (UNFPA).
Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, setakat semalam pihak berkuasa sempadan Israel hanya membenarkan 20 lori membawa bekalan barangan asas melepasi sempadan Gaza.
Katanya, jumlah itu tidak mencukup untuk membantu lebih sejuta warga Palestin yang terkesan dengan serangan Israel sejak tercetusnya pertempuran dua minggu lalu.
“Alhamdulillah, sempadan Gaza dah dibuka untuk 20 lori bantuan masuk. Bagaimanapun, cukup ke dengan 20 lori sahaja? Keperluan Gaza dalam waktu luar perang pun 500 lori sehari,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, agensi berita asing melaporkan sebanyak 20 lori bergerak dari Rafah menuju ke Deir al-Balah, sebuah bandar di selatan Gaza yang terkenal dengan ladang pokok kurma, yang kini menjadi pusat pemindahan mangsa konflik peperangan.
Menurut UNICEF, kebanyakan lori membawa 44,000 botol air minuman, cukup untuk 22,000 orang untuk sehari, manakala WHO melaporkan empat daripada lori itu membawa bekalan perubatan termasuk ubat dan alat kecemasan.
Namun, lebih 200 lori yang membawa 3,000 tan bekalan bantuan masih menunggu di sempadan sejak beberapa hari lalu.
Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, dengan keadaan yang amat kritikal di Gaza, malapetaka kemanusiaan terbesar berlaku jika mereka tidak mendapat bantuan sewajarnya.
“Jika Israel sebagai penjenayah dan teroris dibenarkan dibantu oleh Amerika Syarikat (AS) dan kuncu-kuncunya, kenapa Palestin sebagai mangsa selama 75 tahun tidak boleh dibantu mempertahankan diri dan kesucian Masjid Al-Aqsa ?
“Warga Palestin sangat kecewa terhadap sikap negara Islam yang dilihat tidak mahu campur tangan secara efektif untuk menyekat keganasan zionis Israel. Nyawa Palestin seolah lebih rendah dari nyawa haiwan. Dunia Islam tidak lagi boleh hanya menjadi pembicara atau pemerhati semata-mata,” katanya.
Disebabkan itu, organisasinya iaitu Mapim melancarkan Tabung Kecemasan Gaza dengan jumlah sasaran RM10 juta bersamaan AS$2 juta dolar untuk bantuan kecemasan dan keperluan terdesak bagi warga Gaza. – UTUSAN










