Gagal tinggalkan Gaza, Nurul Ain bantu agih bekalan makanan

Gagal tinggalkan Gaza, Nurul Ain bantu agih bekalan makanan

SEBUAH lori membawa sejumlah jenazah rakyat Palestin yang syahid akibat terkena bedilan tentera Israel di Deir al-Balah, Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas gagal meninggalkan Semenanjung Gaza berikutan Israel memungkiri janji menghentikan serangan di sempadan Rafah, rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron mengambil peluang membantu penduduk tempatan mengagihkan bekalan makanan.

Simpati dengan nasib penduduk Gaza yang semakin hari semakin terhimpit, Nurul Ain melahirkan rasa syukur kerana dapat membantu meringankan beban rakyat Palestin yang hidup di ‘penjara terbesar dunia’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Ain, 37, berkata, dia sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat menjejakkan kaki ke bumi Palestin bagi membantu saudara seagama yang sering menjadi sasaran kerakusan rejim zionis.

Katanya, dia menggunakan platform Facebook dan Tiktok miliknya untuk menyebarkan kesedaran kepada rakan-rakan media sosialnya berkaitan kesempitan hidup rakyat Palestin sambil mengumpulkan sumbangan supaya dapat membelikan barangan keperluan kepada penduduk Gaza khususnya.

“Alhamdulillah kami masih selamat malah hari ini (kelmarin) saya dan suami sempat mengeluarkan wang sumbangan daripada saudara-mara, rakan-rakan dan kenalan di Facebook untuk membeli barangan keperluan supaya dapat diagihkan kepada jiran-jiran kami.

“Sasaran kami adalah untuk mengagihkan bekalan makanan kepada mereka yang berstatus pelarian. Mereka ini bukan penduduk di Khan Younis sebaliknya datang ke sini untuk berlindung di rumah saudara mara kerana kediaman mereka musnah dibedil tentera zionis,” katanya ketika dihubungi.

Antara barangan keperluan yang diagihkan Nurul Ain adalah spagetti, ikan tuna dalam tin, gula, pes tomato, keju, teh dan beberapa lagi barangan lain.

Menurut Nurul Ain, bekalan makanan khususnya makanan ruji penduduk tempatan di Gaza kehabisan stok sejak beberapa hari lalu manakala harganya pula meningkat beberapa kali ganda.

Malah, menurut Nurul Ain, dia juga dapat membeli air yang berharga sekitar RM45 untuk 1,000 liter.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Nurul Ain dan suaminya, Mohamed Adan Shaat, 33, serta ratusan rakyat negara lain sepatutnya dibenarkan meninggalkan Gaza selepas Israel berjanji untuk menghentikan serangan bermula jam 12 tengah hari sehingga 5 petang waktu tempatan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di pintu sempadan Rafah, rejim zionis melancarkan serangan udara berhampiran kawasan tersebut menyebabkan Nurul Ain dan suami memutuskan untuk berpatah balik ke rumah mentuanya di Khan Younis.

Nurul Ain berkahwin dengan rakyat Palestin iaitu Mohamed Adan pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya yang sudah sembilan tahun tidak pulang bertemu keluarga.

Ini juga adalah kali pertama Nurul Ain bersua muka dengan keluarga mentuanya selepas enam tahun melangsungkan pernikahan memandangkan pergerakan untuk keluar masuk ke Gaza bukanlah suatu yang mudah termasuklah kepada rakyat Palestin sendiri.

Kedua-dua pasangan yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijadualkan meninggalkan Gaza pada 25 Oktober melalui sempadah Rafah menuju ke Mesir sebelum menaik penerbangan ke UAE hari berikutnya, namun mereka kini terkandas di Khan Younis susulan peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera zionis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN