Dewan Rakyat dimaklumkan kerusi Parlimen Kemaman kosong - Utusan Malaysia

Dewan Rakyat dimaklumkan kerusi Parlimen Kemaman kosong

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menerima pemakluman kekosongan kerusi Parlimen Kemaman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam satu kenyataan berkata, beliau dimaklumkan yang SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan berkenaan.

“Dimaklumkan bahawa saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah menerima surat bertarikh 11 Oktober 2023 daripada Pengerusi SPR yang memaklumkan telah berlaku kekosongan luar jangka bagi Parlimen Kemaman.

“Sehubungan dengan itu, pihak SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari menjelaskan, ia selari dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober lalu yang telah mengeluarkan Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Ia mengisytiharkan bahawa pilihan raya umum bagi kawasan Parlimen P040 Kemaman pada 19 November 2022 adalah terbatal.

Katanya, pilihan raya diadakan semula kerana penyandang kawasan itu, Che Alias Hamid, tidak mengemukakan rayuan sehingga tempoh rayuan berakhir pada 10 Oktober lalu, selaras dengan Seksyen 36A Akta 5 kepada Mahkamah Persekutuan.

CHE ALIAS HAMID

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN