PETALING JAYA: Dalang kes pengubahan wang haram MYAirline dipercayai menggunakan hasil pelaburan perniagaan lain miliknya untuk membuka syarikat penerbangan tersebut.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, individu bergelar Datuk itu dikatakan telah membuka perniagaan pelaburan tersebut bagi mengumpul dana sebelum dilaburkan dalam syarikat MYAirline.
Sumber berkata, beberapa individu telah melabur dengan syarikat berkenaan dengan nilai ratusan dan jutaan ringgit tetapi tidak mendapat pulangan pelaburan berkenaan.
“Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan suspek membuka syarikat penerbangan tersebut hasil wang daripada pelabur yang melabur,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan polis menahan pemegang saham perniagaan i-Serve bagi membantu siasatan aktiviti pengubahan wang haram itu.
Kata beliau, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi kelmarin di Bangsar, dan penahanan ini menjadikan empat individu ditahan termasuk pengasas syarikat penerbangan tambang murah itu yang bergelar Datuk.
“Suspek direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 27 Oktober ini selepas Mahkamat Majistret membenarkan reman dilakukan ke atasnya di Lokap Berpusat Jinjang pagi tadi (semalam),” katanya di sini.
Dalam pada itu, kata beliau, sebanyak 12 kenderaan dari dua suspek selain dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd turut dirampas.
Selain itu, katanya, polis turut merampas lapan beg tangan mewah, jam tangan mewah (6), komputer riba (dua), barang kemas (10) dan CPU (satu) turut dirampas.
“Reman suspek utama juga akan tamat pada hari ini dan akan dibebaskan dengan jamin polis. Siasatan masih diteruskan dengan fokus semakan dokumen penting dalam transaksi perniagaan i-Serve,” jelasnya.
Sementara itu, Ramli meminta individu yang melabur dalam i-Serve Online Mall Sdn Bhd digesa membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, laporan polis itu penting bagi membantu siasatan membabitkan syarikat terbabit.
“JSJK meminta semua pelabur dalam i-Serve yang masih belum buat laporan untuk tampil membuat laporan polis terhadap jumlah pelaburan mereka.
“Ia bagi membantu polis dalam siasatan menyeluruh terhadap i-Serve, QA Partnership, Trillion Cove dan MYAirline. Laporan ini penting untuk membantu siasatan polis selanjutnya, kerjasama semua adalah sangat dihargai,” katanya.
Kelmarin, lebih 15 akaun bernilai hampir RM5 juta yang mempunyai kaitan dengan pengasas syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline dipercayai hasil aktiviti pengubahan wang haram dalam proses pembekuan.
Kesemua akaun berkenaan dipercayai milik perseorangan, syarikat serta individu tertentu.
Pada 20 Oktober lalu, seramai 15 individu memfailkan saman terhadap ahli perniagaan dan empat syarikat atas dakwaan gagal membuat bayaran balik berhubung pelaburan lebih RM8 juta.
Pada 18 Oktober lalu, pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar Datuk bersama isteri dan anak lelaki mereka ditahan polis bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – UTUSAN










