CAAM gantung sijil AOC MYAirline, audit diteruskan

CAAM gantung sijil AOC MYAirline, audit diteruskan

Beberapa individu yang ada kaitan dengan iServe dan syarikat penerbangan MYAirline yang ditutup operasinya telah ditahan berkaitan pengubahan wang haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, penggantu­ngan itu dibuat di bawah Pera­turan 193(3), Peraturan-pera­turan Penerbangan Awam 2016 selama 90 hari sementara menunggu siasatan lanjut oleh pihak CAAM.

Jelas beliau, pihaknya menjalankan audit keselematan ke atas MYAirline dari 29 Mei hingga 1 Jun lalu bagi pembaharuan AOC dan tiada penemuan yang menunjukkan terdapat masalah kewa­ngan pada ketika itu.

“Sebagai sebahagian daripada proses audit keselamatan, pemegang AOC perlu menyediakan bukti kemampuan kewangan kepada CAAM bagi memastikan pengendali operasi udara mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan operasi yang dirancang.

“Sekiranya timbul isu kewangan, pemberitahuan bertulis perlu diberikan segera kepada CAAM bagi memastikan tiada sebarang kompromi terhadap keselamatan operasi.

“Sehingga ke hari ini, MYAirline tidak menghantar sebarang notis pemberitahuan kepada CAAM seperti yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, CAAM menjalankan audit keselamatan terperinci untuk menilai keupayaan dan kecekapan pengendali operasi udara dalam bidang pengangkutan udara komersial, operasi dan airworthiness.

CAAM bertanggungjawab mengawasi segala aspek tek­nikal pengoperasian udara ba­gi memastikan semua piawaian keselamatan dan sekuriti dipatuhi.

“Penggantungan sementa­ra operasi MYAirline pada 12 Oktober 2023 tanpa pemakluman awal kepada CAAM telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan awam dan integriti keseluruhan operasi penerbangan awam di Malaysia.

“Audit keselamatan terpe­rin­ci akan dijalankan ke atas MYAirline semasa penggantungan sementara ini untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu,” katanya.

Pada masa sama, katanya, sebarang pelanggaran peraturan oleh pemegang AOC akan diuruskan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CAD). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN