PETALING JAYA: Kerajaan akan menyediakan ganjaran RM500 kepada golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun yang berjaya melakukan aktiviti kesukarelawan dengan badan yang diiktiraf.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penerapan konsep ‘pay it foward’ itu bagi membudayakan semangat kesukarelawanan dalam kalangan golongan usia berkenaan.
Katanya, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM20 juta untuk Program bagi memperbanyak pengisian program-program belia.
“Pada masa sama Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang telah melahirkan lebih 7,000 usahawan belia bumiputera dan mewujudkan hampir 14,000 peluang pekerjaan akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan peruntukan RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.
Dalam pada itu, bagi mempromosi Malaysia sebagai hab pembangunan industri e-sukan, kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi menggalakkan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia dalam pembangunan produk digital mereka bersama-sama bakat tempatan. – UTUSAN