Ancaman bom adalah palsu - Polis - Utusan Malaysia

Ancaman bom adalah palsu – Polis

PARA pengunjung sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru diarah keluar apabila pihak pengurusan premis tersebut menerima panggilan ancaman bom.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan panggilan telefon seorang lelaki dipercayai warganegara asing yang mendakwa meletakkan bom di sebuah pusat beli-belah dan hotel ternama di bandar raya ini semalam adalah palsu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seramao 92 pegawai kanan dan anggota termasuk dua unit anjing pengesan K9 telah digerakkan ke lokasi pada pukul 6.15 petang sejurus laporan polis diterima.

Pihaknya turut dibantu seramai 23 pegawai dan anggota bomba.

“Hasil pemeriksaan oleh unit pemusnah bom dan anjing pengesan K9 hingga pukul 11.30 malam, tiada sebarang objek yang mencurigakan dikesan.

“Kawasan dilaporkan selamat dan beroperasi seperti sedia kala. Walau bagaimanapun, pihak polis terus berada di lokasi kejadian bagi menjalankan pemerhatian lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, lebih 9,000 pengunjung dan pekerja sebuah pusat beli-belah dan hotel terkenal di sini bergegas keluar bangunan selepas dimaklumkan tentang ancaman bom. 

Sebelum itu, tular gambar dan video dalam media sosial di pusat beli-belah menunjukkan orang ramai berpusu-pusu keluar meninggalkan bangunan tersebut.

Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu ketenteraman awam.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pusat beli-belah dan hotel yang menerima panggilan ancaman keselamatan itu kembali beroperasi seperti biasa pada hari ini.

Jelas pihak pengurusan syarikat terbabit, langkah itu diambil setelah pihak berkuasa mendapati premis tersebut berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada segala ancaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya