Alam Flora capai 82 peratus kutipan barangan kitar semula di DTRC Taman Gelora - Utusan Malaysia

Alam Flora capai 82 peratus kutipan barangan kitar semula di DTRC Taman Gelora

AZAHARI Zainal Abidin (kanan) dan Razihan Adzharuddin (tengah) ketika menyempurnakan majlis pelancaran Karnival Saya Sayang Bumi di Taman Gelora di Kuantan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 82 peratus kutipan barangan kitar semula berjaya dicapai Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) sejak Pusat Pandu Lalu Belian Semula (DTRC) di Taman Gelora diwujudkan dua tahun lalu.

Sehingga Ogos lalu, Alam Flora berjaya mengutip sebanyak 40 tan barangan kitar semula menerusi kegiatan jual balik di Pusat Belian Semula Kitar Semula di Taman Gelora dan di Pusat Bandar Kuantan serta program ‘Trash to Cash’ yang dianjurkan di kawasan-kawasan perumahan di sekitar Kuantan.

Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Azahari Zainal Abidin berkata, jumlah kutipan itu meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu 22 tan.

Katanya, peningkatan tersebut merupakan pencapaian membanggakan bagi anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) itu susulan inisiatif yang diperkenalkan dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penyertaan masyarakat dalam membudayakan amalan kitar semula.

“Dengan adanya pusat ini, penduduk sekitar Kuantan boleh menjual barangan kitar semula mereka di samping menyokong usaha kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan sumber-sumber alam yang penting di mana sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Program yang dirancang oleh Alam Flora ini, adalah bagi menyokong usaha kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menetapkan sasaran 40 peratus kadar kitar semula menjelang tahun 2025. Kadar kitar semula negara ketika ini adalah pada tahap 33.1 peratus,” katanya selepas majlis pelancaran Karnival Saya Sayang Bumi yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Razihan Adzharuddin di Taman Gelora di sini hari ini.

Razihan dalam pada itu berkata, penganjuran Karnival Saya Sayang Bumi 2023 yang julung kali diadakan di Kuantan merupakan inisiatif terkini dalam rangka meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar dan menyokong usaha kelestarian alam terutama di Pahang.

“Karnival ini juga dilihat sebagai langkah penting dalam mencapai matlamat menjadikan Kuantan bandar yang lestari dan mesa alam.

“Selain itu, ia akan menjadi platform mempromosikan penyertaan aktif masyarakat dalam usaha kelestarian alam dan memupuk semangat cintakan bumi,” katanya.

Menurutnya lagi, inisiatif itu harus dijadikan contoh untuk menyedarkan masyarakat dalam menjaga alam sekitar.

“Aktiviti seperti upcycling ini adalah aktiviti yang mengubah produk yang tidak berfungsi kepada sesuatu yang lebih berguna amat sesuai untuk mengurangkan jumlah sampah yang kita keluarkan dan di samping itu, kita juga berjaya mengurangkan penggunaan bahan mentah.

“Saya harap agar program ini benar-benar dapat menyemarakkan lagi kesedaran dalam kalangan warga Kuantan keseluruhannya. Ini penting supaya amalan kitar semula terus membudaya dan menjadi amalan kehidupan seharian di Kuantan bandar yang serba indah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya