KUANTAN: Sebanyak 150 tan sampah berjaya di kumpul di sekitar daerah ini menerusi program mengutip sampah yang dianjurkan Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) sejak tahun lalu.
Timbalan Pengurus Besar Operasi Alam Flora, Kamal Azizol Raja Ibrahim berkata, jumlah itu membabitkan 300 aktiviti melibatkan komuniti setempat bermula tahun lalu sehingga kini.
Katanya, selain bagi memulihara sumber alam semula jadi, program mengutip sampah atau ‘plogging’ itu merupakan usaha memupuk rasa tanggungjawab sivik masyarakat terhadap kawasan masing-masing.
“Amalan menjaga kawasan rekreasi agar sentiasa bersih sudah lama diamalkan d Jepun dan beberapa negara Eropah.
“Sampah perlulah dibuang dengan betul serta sentiasa mengekalkan kebersihan dan keindahan sesuatu tempat. Ia juga tabiat mulia yang perlu dipupuk dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya ketika ditemui selepas program ‘Saya Sayang Bumi-Beach Plogging’ di Pantai Pelindung di sini hari ini.
Program anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) itu melibatkan 150 peserta dari komuniti setempat, penuntut UNITAR College dan Kolej Universiti Yayasan Pahang dan kakitangan Alam Flora serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Kata Kamal Azizol, aktiviti ‘plogging’ yang dianjurkan Alam Flora juga menyaksikan sukarelawan beriadah sambil mengutip sampah di sepanjang Pantai Pelindung yang kini semakin mendapat tumpuan ramai sejak tular mural penyu bulan lalu.
“Aktiviti yang menyeronokkan dan sihat ini bukan sahaja dapat membersihkan persekitaran tetapi juga menggalakkan komuniti untuk lebih bertanggungjawab terhadap mengekalkan keseimbangan ekologi alam sekitar.
“Inisiatif ini juga bertujuan mempromosikan kelestarian alam sekitar dan mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan sihat di kawasan rekreasi yang popular dalam kalangan masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau juga memberitahu program seumpama itu juga diharap dapat menginspirasi pengurusan alam sekitar yang lebih baik di samping memastikan tempat semula jadi seperti Pantai Pelindung kekal terpelihara untuk generasi akan datang.
“Ini juga menunjukkan komitmen dan sokongan berterusan Alam Flora dalam mencapai matlamat kerajaan dalam mengurangkan 40 peratus sisa kitar semula yang dihantar ke tapak pelupusan menjelang 2025,” katanya.
Bersempena program terbabit juga, sebanyak 20 pokok pantai pelbagai jenis turut ditanam sebagai salah satu langkah pemuliharaan alam sekitar dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. – UTUSAN










