SEREMBAN: Sebanyak 58,100 liter diesel dianggarkan bernilai RM124,915 dirampas pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan dalam empat operasi Op Tiris di tiga buah stesen minyak sekitar Seremban dan Nilai serta sebuah premis tanpa nombor baru-baru ini.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, tindakan operasi dijalankan hasil maklumat yang diterima serta risikan dan pemantauan oleh anggota serbuan ke atas pergerakan lori-lori yang berulang-alik membuat pengisian minyak di stesen-stesen minyak yang disasarkan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lori-lori yang ditahan mendapati ia telah diubah suai bagi tujuan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.
“Premis tidak bernombor itu dipercayai dijadikan tempat pengumpulan dan penyimpanan diesel bagi tujuan diseleweng di Jalan Kuala Sawah Angsamas, Seremban,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Muhammad Zahir, empat orang lelaki warga tempatan turut ditahan kerana disyaki telah berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit yang sah.
Muhammad Zahir berkata, menerusi Op Tiris pada Sabtu lalu dan semalam di Lukut dan Seremban, pihaknya telah merampas 5,201 liter diesel lebih kurang RM11,000.
“Turut disita dua buah lori dan enam unit tangki intermediate bulk container (IBC) yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM30,981.50.
“Seorang lelaki warga tempatan telah ditahan kerana disyaki berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit yang sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan rekod, pihaknya berjaya menyelamatkan sebanyak 859,583 liter diesel bersubsidi dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 juta sejak 1 Mac hingga kini.-UTUSAN.










