15 polis ditahan di pusat hiburan: Kertas siasatan dirujuk kepada pejabat DPP - Utusan Malaysia

15 polis ditahan di pusat hiburan: Kertas siasatan dirujuk kepada pejabat DPP

AHMAD Dzaffir Mohd. Yussof ketika ditemui pemberita Program Townhall Discussion Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan 'Revolusi Industri Pelancongan Secure & Safety di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kertas siasatan berhubung kes seorang pegawai kanan polis bersama 14 anggota serta dua Timbalan Pendakwa Raya yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato’ Sheikh Ahmad, Seremban di sini pada Ogos lalu telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, setakat ini pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya sebelum suspek didakwa di mahkamah.

“Kes kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, ada beberapa lagi arahan untuk tindakan (lanjut) oleh PDRM,” katanya pada sidang akhbar pada Program Townhall Discussion Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan ‘Revolusi Industri Pelancongan Secure & Safety di sini hari ini. 

Menurut Ahmad Dzaffir, keputusan saringan air kencing kesemua 17 suspek juga telah diperoleh dan mendapati sebahagian daripada mereka positif dadah berdasarkan sampel yang dihantar kepada pihak patalogi.

“Keputusan urin sudah diterima ada yang positif dan negatif. Kita dapat (hasil urin) daripada ujian patalogi itu adalah muktamad.

“Buat masa ini, mereka (suspek) masih ditahan kerja sementara menunggu siasatan lengkap dan arahan selanjutnya,” katanya.

Pada 19 Ogos lalu, media melaporkan seorang pegawai kanan dan 14 anggota polis ditahan bersama dua timbalan pendakwa raya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban di sini.

Mereka ditahan dalam serbuan pada pukul 2.30 pagi oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua anggota dan pegawai terbabit buat masa ini dilepaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan.

Beliau berkata, proses tatatertib berkenaan akan mengambil masa panjang dan meminta orang ramai tidak menganggap pihak polis melepaskan anggota dan pegawai terbabit tanpa tindakan.

Kata beliau, suspek diberikan jaminan polis kerana itu merupakan proses biasa di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN