11,868 pekebun kecil dari sembilan SPOC Pahang terima sijil MSPO - Utusan Malaysia

11,868 pekebun kecil dari sembilan SPOC Pahang terima sijil MSPO

RAMLE Moslim (enam dari kiri) bersama pekebun- pekebun kecil yang hadir dalam Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Negeri Pahang di Pelangai, Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seramai 11,868 pekebun kecil dari kesemua sembilan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) negeri ini mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) membabitkan kebun sawit seluas 36,337 hektar.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MSPO merupakan antara langkah yang dilaksanakan bagi memastikan penanaman sawit menepati piawaian alam sekitar dan amalan pertanian baik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Pelaksanaan pensijilan MSPO dapat meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara selain dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil. Kerajaan menerusi MPOB giat berusaha untuk membantu semua pekebun kecil mendapat pensijilan MSPO.

“Antara usaha yang dilakukan adalah dengan menempatkan Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) dari MPOB untuk membantu mereka melaksanakan amalan pertanian baik dan seterusnya mendapatkan pensijilan tersebut,” katanya menerusi teks yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) MPOB, Dr. Ramle Moslim ketika berucap di Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Negeri Pahang yang dianjurkan oleh MPOB di sini.

Menurut Ahmad Parveez, sebanyak 162 SPOC di seluruh negara sudah memperoleh pensijilan MSPO melibatkan 196,607 orang pekebun kecil dengan keluasan kebun 736,822 hektar setakat September ini.

“Kerajaan juga menyediakan insentif sebanyak RM30 juta pada 2019 yang merangkumi kos yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk membantu pekebun kecil.

“Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi juga menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) di seluruh negara bertujuan menyatukan pekebun kecil sawit bagi menjalankan aktiviti ekonomi melalui amalan pertanian baik dan jualan buah tandan segar sawit secara berkelompok terus ke kilang melalui penubuhan Pusat Timbang.

“Sehingga 30 September lalu, sebanyak 69 buah KPSM sudah ditubuhkan di Malaysia dengan 24 daripadanya terletak di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Selain itu katanya, sebanyak 69 buah pusat timbang siap dibina di seluruh negara dengan jumlah jualan buah tandan segar sebanyak 290,446 tan setakat September ini.

“Kerajaan menerusi MPOB turut melaksanakan Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui penggunaan tanah dan sumber semula jadi yang optimum.

“Program integrasi itu melibatkan tanaman kontan seperti pisang, jagung, tembikai, betik, dan nanas dan MPOB telah menambah baik skim tersebut dengan memperkenalkan dua jenis tanaman iaitu serai dan cendawan,” katanya.

Beliau juga berkata, MPOB menubuhkan Kelab 30 Tan bagi pekebun kecil sawit yang berjaya mencapai pengeluaran hasil buah tandan segar 30 tan sehektar setahun dan ke atas.

“Kelab 30 Tan adalah pengiktirafan serta bukti kehebatan pekebun kecil yang mampu mencapai produktiviti tinggi dengan mengamalkan amalan pertanian baik yang turut disokong Pensijilan MSPO. Sehingga 30 September ini, keahlian Kelab 30 Tan meningkat kepada 2,391 orang di seluruh negara dan 123 orang pekebun kecil adalah dari negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya