Wujudkan kerajaan perpaduan di Johor, beri tiga jawatan Exco - Aminolhuda - Utusan Malaysia

Wujudkan kerajaan perpaduan di Johor, beri tiga jawatan Exco – Aminolhuda

Aminolhuda Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lagi pemimpin Pakatan Harapan (PH) berharap kerajaan negeri ini ‘membawa masuk’ wakil rakyatnya dalam pentadbiran sebagai anggota Exco.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berpendapat, rakan baharu kerajaan perpaduan, iaitu Barisan Nasional (BN) Johor dapat melakukan perubahan dengan membuka pintu kepada wakil rakyat PH berada dalam barisan Exco kerajaan negeri.

“Jadi, saya mengharapkan ada sedikit perubahan atau pendekatan baru, dengan wakil-wakil daripada PH boleh duduk dalam kerajaan di peringkat kerajaan Johor, itu harapan saya. Jika lihat dari segi kedudukan, mungkin boleh beri tiga Exco kerajaan negeri kepada PH, itu sudah baik untuk kami dan menandakan kerjasama BN-PH di Johor. 

“Perkara ini belum dibincang secara rasmi, apa-apa pun itu terpulang kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan paling penting perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Hotel Thistle, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamed Sabu dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.

Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, kerjasama erat BN-PH pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram baru-baru ini sehingga berjaya mempertahankan kerusi itu dijadikan sandaran bagi pembentukan kerajaan perpaduan di negeri ini.

“Saya yakin kerjasama parti PH dan BN Johor yang terbukti pada PRK bulan lalu akan disusuli dengan usaha membentuk Kerajaan Perpaduan yang mantap demi kebaikan dan kemajuan rakyat dan negeri Johor. Ini harapan rakyat Johor, saya yakin itu juga harapan mereka untuk membuktikan kerajaan perpaduan di peringkat nasional boleh diterjemahkan di Johor,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, BN memperoleh kemenangan dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

PH pula memenangi 13 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR, Amanah dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), masing-masing satu kerusi.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi tiga kerusi, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan dua kerusi dan Pas satu kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN