SEREMBAN: Seorang lelaki dipercayai warga asing ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah kedai yang menempatkan pekerja di Dataran Millenia, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Arifai Tarawe berkata, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban telah menerima maklumat kebakaran bangunan di sebuah rumah kedai kira-kira pukul 4.58 pagi.
Menurutnya, pihak bomba telah berjaya memadamkan kebakaran dan menyelamatkan seorang lelaki dipercayai warga asing berusia 45 tahun dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang lelaki juga dipercayai warga asing berusia 50 tahun telah meninggal dunia.
“Siasatan awal mendapati, si mati merupakan pekerja di Pasar Besar Seremban dan pemeriksaan pada tubuh si mati tiada sebarang unsur jenayah.
“Bedah siasat telah dibuat dan punca kematian telah disahkan oleh Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) adalah masalah ‘smoke inhalation’,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Arifai berkata, pihak forensik bomba telah pergi ke tempat kejadian bagi mengenal pasti punca kebakaran dan pihak polis telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Adi Khusaini Saripudin menerusi nombor 012-7707282 atau IPD Seremban, 06-6033222.-UTUSAN.