Tiga beradik antara sembilan diberkas, rampas dadah, pistol - Utusan Malaysia

Tiga beradik antara sembilan diberkas, rampas dadah, pistol

KAMARUL ZAMAN MAMAT (dua dari kanan) dan beberapa pegawai polis menunjukkan senjata api yang berjaya dirampas daripada sindiket pengedaran dadah dalam sidang media di IPK, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga beradik antara sembilan individu diberkas kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dalam empat siri serbuan di Johor Bahru, Seri Alam dan Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga beradik yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki daripada enam lelaki dan tiga wanita berusia antara 22 hingga 36 tahun yang ditahan dalam serbuan tersebut.

Pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah, antaranya 28 ketulan mampat dipercayai ganja seberat 27.55 kilogram (kg), heroin (1.81kg), syabu (2.02kg), ketamin (597 gram), pil yaba (540 biji) dan pil ekstasi (353 biji) bernilai RM231,462.40.

“Polis turut merampas lima pucuk pistol pelbagai jenis bersama 136 butir peluru serta 111 karton rokok seludup keluaran negara China,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Komisioner M. Kumar.

Kamarul Zaman berkata, modus operandi yang digunakan sindiket itu ialah menyewa beberapa rumah untuk dijadikan stor sebelum dadah itu diedarkan ke pasaran tempatan.

“Sindiket ini dikesan telah aktif beroperasi sejak Mei lalu dan bekalan disyaki diperoleh dari utara tanah air,” katanya.

Selain rampasan dadah dan pistol, polis turut menyita empat buah kenderaan, sebuah motosikal, barang kemas serta wang tunai RM126,000.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta sebanyak RM536,662.40.

Kamarul Zaman berkata, kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971. – UTUSAN

 

Selain itu, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN