JOHOR BAHRU: “Saya tidak terkejut atau kecewa dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai kerana majoriti yang keluar mengundi adalah penyokong tegar calon-calon lain.”
Itu reaksi calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi tentang kekalahannya pada PRK Parlimen Pulai, semalam.
Menurutnya, jika pengundi atas pagar atau rakyat biasa yang tidak terlalu menyokong pihak tertentu turut keluar mengundi, mungkin keputusannya akan berbeza.
Walaupun tewas dan pertandingan tiga penjuru itu dimenangi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, namun beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) akan meneruskan khidmat kepada masyarakat.
“Saya juga tidak serik sekiranya berpeluang sekali lagi untuk bertanding dalam pilihan raya atas kapasiti NGO. Ini kerana percubaan kali kedua ini saya mendapat undi lebih banyak berbanding kali pertama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), akhir tahun lalu,” katanya.
Pihaknya akan terus mendidik rakyat untuk faham Perlembagaan Persekutuan dan hak-hak mereka sebagai rakyat Malaysia dan pengguna di negara ini.
Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan melakukan kaji selidik bagi mengenal pasti punca peratusan keluar mengundi dalam PRK itu rendah, itu 47.33 peratus.
“Kerajaan kena tengok dan kaji kenapa ‘turn out’ kurang walaupun ini kerusi Parlimen. Selain itu, saya juga terkilan kerana kempen saya mendapat banyak halangan daripada pihak berkuasa khususnya dalam mendapatkan permit kempen.
“Saya tidak bebas berkempen, kerana apabila memohon permit, ia akan ditolak dengan alasan calon lain telah membuat permohonan terlebih dahulu di tempat dan masa berkenaan. Itu tidak sepatutnya berlaku kerana pihak berkuasa boleh menyusun waktu kempen agar tidak bertembung dan ini menunjukkan sistem demokrasi kita masih belum matang kerana kempen calon Bebas dihalang menyebabkan saya tidak dapat bertemu dengan lebih ramai rakyat sepanjang tempoh dua minggu berkempen,” katanya.
PRK Parlimen Pulai semalam, Suhaizan memperoleh 48,283 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar mendapat 29,642 undi, manakala Samsudin meraih 528 undi. -UTUSAN