Tiada masalah ambil bekas banduan bekerja

Tiada masalah ambil bekas banduan bekerja

BEKAS banduan yang diterima bekerja dengan syarikat Alpha Sphinx Malaysia Sdn. Bhd. di George Town, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Majikan tidak perlu bimbang mengambil bekas banduan bekerja kerana go­longan itu tidak mendatangkan masalah kepada mereka.

Pemilik syarikat pembersihan Alpha Sphinx Malaysia Sdn. Bhd., K. Suraidran, 40, berkata, sejak membuka peluang kepada bekas banduan untuk bekerja, dia tidak berdepan masalah besar atau kejadian serius.

Katanya, sepanjang tempoh 2019 hingga tahun ini, lebih 200 Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Orang Diparol (ODP) bekerja di syarikatnya yang menjalankan perniagaan mencuci kenderaan serta membersihkan bangunan di sekitar Pulau Pinang.

‘’Saya berharap lebih ramai majikan dapat membuka peluang pekerjaan kepada OBB dan ODP untuk menjalani latihan kerja dan membantu mereka memulakan hidup baru. Sejak 2019, lebih 200 OBB dan ODP menjalani latihan kerja bersama syarikat saya dan saya dapati mereka juga berkemahiran se­perti pekerja-pekerja lain.

“Daripada 200 orang yang saya ambil bekerja dan menjalani latihan kerja, sekitar satu pe­ratus sahaja yang bermasalah. Masalah kecil itu adalah,” katanya di sini semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sentimen negatif masyarakat yang masih tebal terhadap bekas banduan walaupun sudah dihukum di sebalik ‘tirai besi’ untuk satu jangka masa panjang adalah faktor utama menyebabkan mereka kembali melakukan jenayah.

Berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia (JPM) bermula 2011 hingga 2022, peratusan banduan yang dibebaskan kemudian dipenjarakan semula adalah 18.6 peratus (jumlah kemasukan residivis 37,551 orang) daripada 202,348 orang.

Berdasarkan kesalahan yang dilakukan bagi tahun 2022, ka­tegori pesalah dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Akta Penagih Dadah (APD) pula sebanyak 77.2 peratus atau 50,080 orang dari 64,862 orang.

Menurut Suraidran, keti­ka menyuarakan hasrat be­ker­jasama dengan Jabatan Penjara bagi membuka peluang pe­kerjaan kepada OBB dan ODP, ramai kenalannya meminta dia berfikir semula tentang perkara itu.

“Ramai yang takut untuk membuka peluang pekerjaan kepada banduan, tetapi saya fikir mereka juga layak diberikan peluang kedua dalam hidup.

‘’Jadi pada 2019, saya mula buka peluang kepada OBB dan ODP yang mana saya ambil dua hingga tiga orang bekerja dahulu. Saya lihat mereka tidak datangkan masalah,” katanya.

Suraidran berkata, kesemua ODP dan OBB yang diambil be­kerja di syarikatnya diberikan gaji mengikut kadar yang ditetapkan kerajaan, tempat tinggal, makanan dan latihan kerja.

Dalam pada itu, seorang bekas banduan, Ooi (bukan nama sebenar), 40, mengakui pe­ranan masyarakat menerima dan memberi peluang kedua kepada bekas banduan menjadi faktor penting membantu golongan berkenaan memulakan kehidupan baharu.

Ooi adalah salah seorang bekas banduan yang dapat menjalani kehidupan normal semula selepas diberikan peluang bekerja di syarikat pembersihan yang dimiliki Suraidran.

Dia yang merupakan OBB menjalani hukuman penjara kira-kira 10 bulan atas kesalahan berkaitan dadah dan bersyukur kerana diberikan peluang pekerjaan sebagai pekerja di kedai mencuci kenderaan.

‘’Sebelum ini saya bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel, saya memang tiada pe­ngalaman dalam bidang pembersihan terutama berkaitan kenderaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN