JOHOR BAHRU: Kerajaan tidak menyediakan laluan khas di Tambak Johor dan LinKedua sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Sabtu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pihaknya akan mengeluarkan cadangan jadual perjalanan di kedua-dua laluan tersebut.
Menurutnya, inisiatif itu dijangka dapat membantu pengembara di Singapura merancang perjalanan pulang untuk mengundi.
“Tiada laluan khas disediakan, ini kerana kita tidak mahu mereka yang bukan pengundi di Pulai dan Simpang Jeram mengambil kesempatan sekiranya laluan khas disediakan bagi tujuan berkenaan.
“Walau bagaimanapun, kita akan pastikan semua kaunter di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) beroperasi penuh pada hari pengundian,” katanya kepada, di sini hari ini.
Mohamad Fazli berkata, cadangan jadual perjalanan itu bertujuan untuk menggelakkan pengembara termasuk pengundi terperangkap dalam kesesakan trafik yang sukar dijangka.
“Hari mengundi adalah pada hari Sabtu dan biasanya itu merupakan waktu sibuk dengan rakyat Singapura yang turut memasuki Malaysia untuk berjalan dan bercuti pada hujung minggu.
“Jadi, kami harap cadangan jadual perjalanan ini akan membantu memudahkan perjalanan mereka menunaikan hak dan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia,” jelasnya.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN