JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda UMNO Johor berpendapat tiada keperluan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan di negeri ini seperti yang ditubuhkan di peringkat pusat.
Sebaliknya, Ketuanya, Noor Azleen Ambros menegaskan, tumpuan penuh seharusnya diberikan terhadap menyelesaikan masalah rakyat, khususnya membabitkan kos sara hidup dan kekurangan bekalan makanan.
“Saya tidak rasa itu yang rakyat negeri ini mahukan. Mereka sebaliknya harapkan pemimpin dan orang politik fikir soal bekalan makanan dan keperluan asas yang tak cukup, soal beras serta bagaimana kerajaan nak uruskan secara efektif kos sara hidup. Jadi orang politik, saya minta cukup-cukuplah kita bincang pasal tubuh jawatankuasa yang hanya fokus kepada agihan kuasa sesama sendiri. Apa yang mustahak adalah rakyat mahu dengar dan tahu apa tindakan diambil orang politik.
“Soal kerajaan peraduan ini hanya untuk menguntungkan kelompok elit politik yang sedang berkuasa,” katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Serbaguna Taman Bukit Dahlia, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar Kanan PTPTN, Mohd. Rusdi Ismail.
Sabtu lalu, Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri ini menubuhkan kerajaan perpaduan dalam usaha mengukuhkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital berkata, pada waktu ini tiada wakil daripada PH sama ada DAP, PKR mahupun Parti Amanah Negara (Amanah) diberikan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Noor Azleen memberitahu, matlamat penubuhan kerajaan perpaduan di peringkat Pusat telah tercapai, manakala kerjasama antara PH dan BN juga telah dilaksanakan dalam PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, baru-baru ini.
“Kita boleh perkukuh kerjasama melalui titik persamaan yang ada ketika ini tanpa perlu mewujudkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan peringkat negeri. Jangan terbelenggu dengan soal itu sangat,” katanya.
Dalam program tersebut, seramai 3,876 penuntut dari negeri ini ditawarkan wang pendahuluan bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam Oktober ini dengan peruntukan berjumlah RM5.81 juta.
“Bagi kawasan Pasir Gudang sahaja, PTPTN telah menawarkan wang pendahuluan kepada seramai 362 penuntut yang melibatkan peruntukan RM543,000,” katanya. – UTUSAN