PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan siasatan berhubung projek percetakan buku bernilai RM80 juta yang dikaitkan dengan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin kira-kira sebulan lalu.
Siasatan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan pertelingkahan antara Ahli Parlimen Putrajaya itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 19 September lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM adalah berkecuali dan siasatan terhadap mana-mana individu bukan atas arahan mana-mana pihak.
Menurut beliau, sebelum UMNO Wilayah Persekutuan membuat laporan kepada SPRM mengenai projek percetakan buku pada Khamis minggu lalu, agensi itu terlebih telah melakukan siasatan terhadap beberapa dakwaan berhubung projek itu.
“Kita telah mulakan siasatan membabitkan kes ini kira-kira sebulan sebelum ini. Laporan yang dibuat oleh sekumpulan individu baru-baru ini hanya maklumat tambahan yang boleh diambil kira SPRM,” katanya.
Azam mengulas dakwaan Timbalan Ketua Biro Undang-Undang Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif yang menuduh Perdana Menteri menyalah guna agensi penguatkuasaan untuk ‘mengganggu’ musuh politiknya.
TEKANAN
Oleh itu, kata Azam, SPRM akan terus melakukan siasatan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.
Ditanya bila SPRM akan memanggil bekas menteri itu, Azam berkata, ia menyerahkan perkara itu kepada pasukan penyiasat.
“Bila akan panggil belum tahu lagi kerana saya serahkan kepada pegawai penyiasat dan terpulang kepada mereka tentukan bila akan dipanggil jika ada keperluan,” katanya.
Utusan Malaysia semalam mendedahkan, lima saksi telah diambil keterangan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek percetakan buku itu.
Kesemua keterangan saksi itu diambil selepas dua individu termasuk seorang setiausaha politik kepada seorang bekas menteri ditahan pada Ahad lalu.
Sementara itu, satu sumber berkata, SPRM telah merampas beberapa dokumen bagi membantu siasatan berhubung projek percetakan buku tersebut.
Sumber berkata, pihaknya kemungkinan akan mengambil keterangan Radzi untuk membantu siasatan berhubung isu tersebut.
Radzi dalam satu kenyataan pula menafikan terbabit dalam projek rundingan terus percetakan buku bernilai RM80 juta semasa memegang jawatan Menteri Pendidikan. – UTUSAN










