Setiap rumah, kereta perlu ada alat pemadam api - Utusan Malaysia

Setiap rumah, kereta perlu ada alat pemadam api

MUHAMMAD NUR ZHARIF Zamree menunjukkan alat pemadam api (APA) bersaiz satu kilogram untuk diletakkan dalam kereta bagi mencegah kebakaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Setiap rumah di negeri ini disyorkan memiliki sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api (APA) bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kejadian kebakaran di rumah masing-masing.

Pembekal perkhidmatan produk APA, Fire Fighter Solution mengadakan program membabitkan pelbagai peringkat umur masyarakat bagi memaklumkan kepentingan penggunaan APA di rumah dan kereta serta cara penggunaannya.

Pengarah Eksekutif Fire Fighter Solution, Muhammad Nur Zharif Zamree berkata, saiz APA yang sesuai untuk kereta adalah satu kilogram (kg) manakala tiga kg untuk rumah membabitkan tempoh masa penggunaan sehingga 10 tahun.

Beliau berkata, selain khidmat nasihat, syarikat itu turut menjual produk APA membabitkan harga RM96 (kereta) dan RM150 (rumah).

“Saiz ini sudah mencukupi kerana selalunya kita sudah nampak api ketika ia belum marak. Selepas digunakan, ia boleh dihantar untuk servis dan isian semula.

“Produk yang dibekalkan ini diluluskan SIRIM Berhad (SIRIM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tiada toksik dan lebih penting mesra alam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Nur Zharif berkata, orang ramai perlu melihat kepentingan memiliki APA dalam kereta dan rumah sebagai mana alat keselamatan lain yang dipasang seperti kamera litar tertutup (CCTV), alat penggera dan jerigi besi.

“Apabila ditanya kenapa pasang CCTV, sistem penggera, jerigi besi? Jawapannya untuk keselamatan. Bila ditanya pemadam api? Tiada kerana tiada kesedaran memilikinya.

“Rumah sehingga RM200,000 mampu beli dan kereta sehingga RM100,000 mampu beli, takkan APA bernilai RM96 dan RM150 tidak mampu beli? Ia juga demi keselamatan jika berlaku kebakaran membabitkan kereta dan juga rumah,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat perlu mempunyai kesedaran memiliki APA supaya tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Masyarakat hari ini bila sebut kebakaran, yang mereka tahu hanya bomba, hanya bergantung kepada bomba. Bila tunggu bomba, ia pasti mengambil masa dan mungkin tidak dapat menyelamatkan harta benda dari kebakaran yang pada awalnya hanya kecil sebelum ia marak.

“Tanggungjawab menjaga nyawa dan harta benda bukan sahaja terletak pada anggota keselamatan malah diri kita sendiri. Kita tak boleh salahkan bomba jika bomba lambat, tidak boleh salahkan tekanan air rendah. Tanya juga apa kita lakukan untuk mencegah kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa sahaja boleh menggunakan APA untuk memadamkan api termasuk anak berusia lima tahun jika diajar bagi menyelamatkan harta benda.

Jadi beliau berkata, orang ramai yang berminat untuk membeli APA untuk diletakkan di rumah mahupun kereta boleh menghubungi syarikat itu di talian 0149999117 termasuk untuk pertanyaan lanjut produk terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya