Saya akan tentang DAP jika tolak Islam, perlembagaan - Anwar - Utusan Malaysia

Saya akan tentang DAP jika tolak Islam, perlembagaan – Anwar

ANWAR IBRAHIM berucap pada Jelajah Madani Pulai di Taman Uda Utama, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan menentang DAP sekiranya parti itu menolak agama Islam dan Perlembagaan Persekutuan 

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebaliknya berkata, pihaknya bekerjasama dengan DAP kerana parti itu bersetuju melawan rasuah dan budaya sakau segelintir pihak, khususnya kepimpinan pembangkang.

“Hari ini, kerajaan perpaduan masih ada lagi pihak yang keliru, marah sedangkan majoriti orang Cina bersama DAP. Kalau mereka tolak perlembagaan kita akan lawan dia, yang penting kita bersama DAP untuk lawan rasuah.

“Tahun ini, kita mahu noktahkan kemiskinan di dalam negara, orang Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli mesti diselamatkan, disebabkan itu kita telah ambil tekad untuk selamatkan 135,000 keluarga daripada kemiskinan,” katanya dalam program Ceramah Mega Perpaduan Madani di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Anwar yakin pengundi Johor, khususnya di Parlimen Pulai akan memberi mesej jelas bahawa untuk membangun negara, rakyat perlu menolak fahaman jumud, perkauman dan agama sempit.

“Johor akan tentukan sejarah Malaysia baharu dalam PRK ini, saya punyai keyakinan. Kita berbeza dengan PN dimana apabila berceramah, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan cerca dan kata Perdana Menteri bodoh.

“Tetapi saya tidak perlu jawab perkara itu, kerana saya yakin rakyat Johor tidak bodoh. Kita bawa ekonomi Madani sebagai dasar pembangunan, ini bukan usaha saya seorang tetapi ramai kepimpinan PH dan Barisan Nasional (BN).

“Jadi, mengapa mereka sibuk hendak halang saya, saya sudah 25 tahun menunggu untuk menjadi Perdana Menteri dan apabila diberikan peluang, ini masa untuk saya bekerja, jadi biarkanlah saya bekerja. Insya-Allah, kerajaan ini akan kukuh dan kekal untuk empat tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menempelak tuduhan kepimpinan pembangkang bahawa beliau kerap menaiki kapal terbang dan helikopter dalam urusan hariannya.

“Dia persoal guna helikopter, guna kapal terbang, saya Perdana Menteri, tak kan nak naik basikal dari Kuala Lumpur sampai ke Johor Bahru, tak kan nak guna kapal layar untuk keluar negara, semua itu digunakan untuk urusan kerja,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN