RMK12: Tumpuan subsidi bersasar - Utusan Malaysia

RMK12: Tumpuan subsidi bersasar

Kerajaan akan menambah baik penetapan subsidi agar lebih bersasar pada RMK12. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini antaranya akan memfokuskan kepada penyusunan semula subsidi supaya pengagihannya lebih bersasar.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Anwar yang juga Menteri Kewangan kemudian akan mengemukakan usul khas bagi kelulusan KSP RMK-12 bagi tempoh 2023-2025.

Pada tahun 2022, kerajaan menanggung subsidi kepenggunaan sebanyak RM77.3 bilion meliputi petrol, diesel, gas pet­ro­leum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, menerusi KSP RMK-12 kerajaan akan membuat penyasaran semula subsidi dengan menambah baik pengurusan pemberian subsidi agar lebih cekap dan bersasar.

Rafizi Ramli

Menurut beliau, antara yang yang akan dititikberatkan adalah semakan semula mekanisme penetapan subsidi bagi produk petroleum dan penstrukturan semula tarif elektrik.

Sebelum ini kerajaan memak­lumkan mampu berjimat sehingga RM17 bilion jika golo­ngan T20 tidak menikmati subsidi petrol, diesel dan LPG.

Ini kerana penggunaan ketiga-tiga bahan api itu dalam kumpulan B40 hanya sekitar 24 peratus, M40 (41 peratus) dan kumpulan T20 (35 peratus).

“Ke arah pelaksanaan subsidi bersasar kerajaan akan mengguna pakai pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU).

“PADU akan dijadi sebagai sumber rujukan bersepadu dalam membuat keputusan dasar berasaskan data,” kata beliau semalam.

MAKLUMAT

Rafizi sebelum ini memaklumkan, PADU akan mula berfungsi tahun depan dengan segala maklumat dikemas kini dengan lebih menyeluruh dan cepat, sekali gus memastikan inisiatif kerajaan lebih menepati apa yang diperlukan.

Dalam pada itu, menurut beliau, rangka kerja KSP RMK-12 diperkenalkan untuk memacu pembangunan Malaysia hingga 2025 dan sete­rusnya selaras dengan wadah ekonomi Madani bagi mengangkat semula darjat dan martabat negara.

“Dokumen itu mengetengahkan 31 tumpuan mengan­dungi 17 Anjakan Besar un­tuk memangkin pembangunan sosioekonomi melalui pemacu dan tiga fokus utama bertemakan Malaysia Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi.

“Pemacu utama ialah mempertingkatkan kecekapan pe­nyampaian perkhidmatan awam melalui tatakelola dan rangka kerja institusi serta perundangan berkaitan ra­suah,” katanya.

Rafizi berkata, tiga fokus utama dalam dokumen itu pula ialah memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan mencapai negara berpendapatan tinggi.

Katanya, terdapat 16 dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan dalam KSP bagi mempertingkatkan kecekapan dan penyampaian perkhidmatan awam dan juga 16 dasar dan inisiatif baharu bagi memperkukuh kemampanan negara.

“Selain itu, tujuh dasar dan inisiatif baharu diperkenalkan untuk membangunkan masyarakat sejahtera dengan lapan dasar dan inisiatif untuk mencapai negara berpendapatan tinggi,” katanya.

PROGRAM

Rafizi berkata, kerajaan turut merangka program dan projek bagi menyokong pelaksanaan KSP RMK-12 berpaksikan rakyat, selain program pembangunan insan Madani dan spritual.

Ini termasuk program dan projek dipacu sektor swasta serta program bagi merapatkan jurang pembangunan.
“Pelaksanaan akan dipantau untuk memastikan sasaran dicapai dan pengenalan langkah intervensi berkesan antaranya menyasarkan sifar peratus kemiskinan tegar menjelang 2025.

“Pasca 2025 kita mengin­ginkan Malaysia baharu yang mampan dan progresif. KSP ini memberi tumpuan untuk menangani pelbagai isu dan cabaran ke arah mencapai negara mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi,” katanya.
KSP RMK-12 dijajarkan de­ngan kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rak­yat yang menjadi landasan pelaksanaan da­sar dan pencapaian aspitasi jangka panjang negara.

Pada 19 Jun lalu, Mesyuarat Khas Perdana Menteri bersama Ahli Jemaah Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian mengenai KSP RMK-12 bersetuju supaya semua pihak bergerak sebagai satu pasukan ke arah mempercepatkan pelaksanaan re­formasi dan inisiatif ekonomi yang dirancang.

Anwar menyatakan me­syua­rat khas itu untuk membincangkan hala tuju KSP RMK-12 bagi memastikan eko­nomi kekal kukuh dan di landasan tepat ke arah mencapai agenda Malaysia Madani.

Kick-Off Conference KSP RMK-12 dimulakan 6 Disem­ber 2022 seterusnya menga­dakan sesi libat urus bersama negeri untuk mendapatkan persetujuan pelaksanaannya bagi mengukur pencapaian pada 2021-2022 serta hala tuju 2023-2025. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN